Aku ada terbaca satu post pada satu blog tentang seorang suami yang tidak membenarkan isterinya untuk menziarah saudara maranya isterinya.
Aku rasa seperti membaca tentang diriku pula. Bak kata orang, siapa makan cili pasti dia terasa pedasnya. Atau siapa makan nangka, pasti dia terkena getahnya...
Isteri aku pernah berkata, aku ini seorang yang sukar difahami. Menurutnya lagi, aku seorang manusia yang susah untuk berinteraksi dengan orang lain. Aku lebih mementingkan diri sendiri. Duussshhhh...sebiji peluru motar 60mm terkena tepat ke muka aku. Habis hancur berderai, berselerak tubuhku. Katalah apa saja, aku tetap aku. Jatuh bangun diri aku bukan akan ada orang yang sudi membantu nanti. Pengalaman yang mengajar aku.
Aku mengaku, aku tidak suka isteri dan anak-anak aku untuk menziarah saudara mara tertentu. Bukan apa, manusia rambut sama hitam (kecuali yang warnakan rambut), hati lain-lain. Aku takut saudara mara berkenaan tidak suka kehadiran aku, isteriku dan anak-anak aku. Setiap kali aku berjumpa mereka, ada saja celoteh mereka yang menyakit hati aku. Ada saja tingkah laku mereka yang membuat aku rasa kecil hati.Ada sekali aku nak tumpang kereta saudara aku, dia tidak benarkan...takut lantai keretanya roboh.
Seingat aku, aku rajin menziarah saudara mara isteriku. Kadang hampir setiap minggu. Aku telah mengenepi saudara maraku sendiri.Lama-lama, aku perasaan, hanya aku sahaja yang menziarah saudara mara isteriku tetapi mereka tidak pernah bertanya khabar atau menziarah aku. Bukan sekadar mereka, tetapi anak-anak mereka pun tidak pernah menegur sapa atau sudi menziarah aku. Pada kotak fikir aku, mungkin orang tidak suka kepada kita.... hanya kita bersungguh-sungguh menjalin persaudaraan tetapi orang melihat kita seperti melukut di tepi gantang.
Aku pernah pergi ke rumah saudara mara ni. Sampai di rumah aku dijemput masuk dan dijamu. Tetapi sambil aku menikmati jamuan di rumahnya, aku dikutuk dan dimarahi. Manakah tata susila dan adab terhadap seorang tetamu? Isterinya pula bila jumpa aku, kerap menyindir pasal pendidikan anak-anak aku. Pernah dia mengatakan, buat apa belajar tinggi-tinggi. Nak hidup senang, kahwin saja dengan orang kaya. Aduh...jumudnya otak saudara perempuan ini. Orang kaya mana nak kahwin kalau muka macam sardin.
Dengan hati yang berat, aku pun berat melangkah ke rumah mereka...dan mula mencari saudara maraku yang telah lama aku tidak ziarah.