Isnin, September 28, 2009

MAT HASSAN


Mat Hassan Ismail dan Faridah
.

Faridah, isteri Mat Hassan
.

Mat Hassan...
.

Kami suka bercerita tentang pengalaman lampau...

Kemalrin, 28 September 2009, aku pergi ziarah Mat Hassan. Mat Hassan gembira menyambut kedatangan aku dan isteriku. Segera dia pelawa kami masuk ke ruang tamu rumah teres setingkat miliknya di Bertam Perdana.

Mungkin itu kali ketujuh aku ke rumah Mat Hassan sejak dia pindah ke Bertam Perdana.

Mat Hassan bukan orang lain dengan aku. Dia adalah sepupu kepada emak aku. Dalam bahasa yang sukar diterangkan, dia adalah bapa saudara sepupu kepada aku. Semasa kecil, Mat Hassan kerap sakit. Pernah sekali ketika mendapatkan rawatan, doktor memaklumkan bahawa Mat Hassan tidak mempunyai harapan untuk hidup lagi. Doktor menasihatkan Mat Hassan dibawa balik ke rumah dan menunggu detik terakhirnya. Rupanya, cakap-cakap doktor itu tidak benar. Mat Hassan kini sudah menjangkau umur 60 tahun. Selepas bersara dari Tenaga Nasional Berhad (TNB), Mat Hassan menghabiskan sisa usianya dengan duduk-duduk di rumah atau keluar makan angin.

Semasa aku umur setahun, bapa aku bina rumah sebelah rumah Tok Bi. Tok Bi adalah emak saudara kepada emak aku. Tok Bi merupakan emak kepada Mat Hassan. Tok Bi ni keturunan Sikh. Suaminya, Tok Mel keturunan Siam. Tok Mel, seorang bomoh yang cukup terkenal di Jelutong. Tok Bi adalah tujuh orang anak. Aku rapat dengan anak-anak Tok Bi. Mereka mengasuh aku semasa aku masih kecil. Bila keluargaku pindah ke Gelugor, aku akan pergi ke rumah Tok Bi dan bermalam di sana dua tiga hari semasa cuti sekolah.  Aku suka tinggal di rumah Tok Bi. Masakan Tok Bi cukup sedap. Tok Bi suka masak gulai dengan mencampurkan asam Belimbing. Tok Bi masak guna dapur kayu. Dan suka suka tiup menggunakan besi bulat supaya api lebih marak ketika hendak memasak.

 Aku masih ingat Mat Hassan dan Kiah kerap membawa aku jual kuih keliling Jelutong. Seronok ikut mereka jual kuih. Ada sekali, semasa jual kuih, jualan terjatuh. Cepat-cepat Mat Hassan ambil dan bersihkan. Bila ada orang bertanya kenapa ada pasir pada kuih, Mat Hassan jawab itu bukan pasir tapi gula. Jawapan Mat Hassan tidak menjadi. Pernah juga masa tengah jual kuih, hujan turun dengan lebat. Masa itu, kami guna daun pisang buat berteduh, menahan air hujan. Sangat seronok.  

Ada juga Mat Hassan ajak aku pi main ski. Bukan main ski betul-betul. Tapi main lomgkang di pasar Jelutong.  Kami masuk dalam longkang yang berlumut dan gelungsor. Memang kotor. Tapi nak seronok tak ingat pun pasal kotor. Bila balik, Tok Bi dapat tahu. Dia bising marahkan Mat Hassan.

Mat Hassan berkahwin dengan rakan sekerja semasa sama-sama kerja di kilang sardin. Dia menyelamatkan rakan pekerja itu dari mati lemas. Kemudian sebagai membalas budi baik Mat Hassan, perempuan itu sudi berkahwin dengan Mat Hassan. Malangnya, perempuan itu meninggal dunia. Mat Hassan kahwin pula dengan kakak perempuan itu. Berganti tikar kata orang tua-tua.

Selepas aku berkahwin, aku tidak lagi berjumpa dengan Mat Hassan. Malah aku tidak tahu dia berpindah kemana. Hampir 20 tahun aku tidak berjumpa Mat Hassan.

Suatu hari, seorang kawan aku pergi ke hospital swasta di Butterworth. Semasa melawat anak dia, dia terdengar seorang pesakit sedang bercakap bahasa Siam dengan seorang lelaki lain. Kawan aku perasaan pesakit yang sedang bercakap bahasa Siam itu, mirip muka aku. Dia beranikan diri bertanya sama ada pesakit itu kenal aku atau tidak. Menurutnya, muka kami hampir sama dan aku pun boleh berbahasa Siam. Pesakit itu kata, dia kenal aku. Pesakit itu ialah Mat Hassan. Kawanku pulang pejabat dan diberikannya kepada aku nombor telefon bimbit Mat Hassan. Lepas itu, aku hubungi Mat Hassan dan hubungan kami terjalin semula.