Jumaat, September 18, 2009

KENANGAN AIDILFITRI

Aidilfitri...
.
Entahlah, perasaan aku bercampur baur untuk menyambut Aidilfitri. Gembira dan sedih.
.
Gembira kerana aku sudah hampir berjaya menyempurna ibadah puasa! Sehari pun tak tinggal. Kualiti puasa, tak tahu. Kadang-kadang termengata dan terkutuk juga. Kadang-kadang termenipu juga. Tahun ini juga aku tak tinggal langsung solat sunat teraweh. Ini KPI aku! KPI seterusnya, puasa enam pula.
.

Mungkin perasaan sedih tu lebih dari perasaan gembira. Aku tak tau kenapa aku ini emosional sangat bila hari raya ni. Mungkin pengalaman silam membuat aku sedih dan suram ketika menyambut Aidilfitri.
.

Seingat aku, aku menyambut Aidilfitri ialah ketika aku berumur 2 tahun. Ketika itu keluarga aku menetap di Jelutong. Bapa bina rumah di sebelah rumah tok saudara aku, Tok Bi. Anak-anak Tok Bi, Mak tam Maliah, Pah, Kiah dan Mat Hassan rajin mengasuh aku. Mereka bawa aku beraya. Mereka bagi tahu emak, aku tak mahu terima duit raya yang orang bagi sebab aku dah ada duit yang emak aku bagi. Jadi duit raya aku itu mereka ambil dan serah pada emak. 
.

Bapa jual rumah di Jelutong dan berpindah untuk tinggal dengan Tok Wan di Gelugor.  Rumah Tok Wan terletak di seberang sungai Gelugor (sekarang ini kawasan Minden Height) . Semasa raya, kami beraya di rumah jiran-jiran. Tok Wan tak bagi kami pergi beraya di kampong seberang sebab kena lintas jalan besar (Jalan Helen Brown).

Semasa umur tiga tahun, kami tidak pergi ke mana-mana untuk berhari raya. Duduk di rumah. Bapa janji nak bawa kami beraya di Seberang nanti. Nak pergi rumah Tok Lang Hawa Bi. Sambil tu, aku dan adik aku Man, main gelongsor. Aku dan Man susun kayu-kayu yang kami jumpa. Entah macam mana, terkoyak baju aku sebab tersangkut pada paku. Emak membebel sekejap.

Pada hari raya, kami suka pergi beraya ke rumah pak Tambi. Mak Jam, Isteri pak Tambi bagi 20 sen. Cukup hebat. 20 sen masa itu cukup besar.Rumah pak Tambi cukup cantik dengan halaman rumah yang luas dengan hiasi pokok-pokok bunga yang diatur sekeliling rumah. Aku masih ingat pak Tambi pasang radio dengan kuat. Lagu yang dimainkan pada ketika itu  ialah lagu "Kopi Susu". 

Masa itulah kali pertama aku ternampak lampu kelip-kelap yang dipasang di rumah Pak Manan. Rumah Tok Wan pun ada lampu kelip-kelap. Mentolnya bentuk Santa Claus, Snow White, Prince Charming dan Dwarf. Tapi lampu kelip kelap tu rosak.


Lepas itu, kami pindah ke rumah sendiri. Rumah kami betul-betul di tepi pantai. Masa tu, kalau raya, aku hanya pergi rumah Tok Wan, Pak Su Hassan, guru yang mengajar mengaji quran dan rumah jiran.  Kadang mak suruh hantar kuih rumah jiran. Dapatlah duit raya jiran bagi. Aku suka hantar kuih ke kedai Achi. Achi tidak buat kuih raya, jadi dia bagi mercun sebagai ganti dan duit seringgit kepada aku. Pecah kepala dapat duit seringgit.
.
Ada sekali tu, semasa ke rumah jiran, aku singgah kedai runcit Maknya Bendi. Masa itu hanya ada suami Maknya Bendi dan sorang lelaki Melayu dari Batu Uban. Badannya kurus dan berkulit gelap. Mungkin selalu berjemur di tengah panas. Mukanya cengkung. Rambut Kerinting halus. Sekali pandang seperti orang Afrika. Dia datang dengan mengayuh basikal trak. Di belakang basikalnya ada sebuah bakul rotan yang besar diikat kukuh atas pelantar basikal. Dalam bakul itu, ada dua orang budak perempuan. Mungkin anak orang itu. Aku masih ingat butir-butir perbualan orang itu kepada suami Maknya Bendi.
.
"Raya ni, budak-budaklah yang seronok" Orang itu meluahkan perasaannya. Kemudian dia menyambung perbualan. "Itu pun kalau ada duit. Kalau tak ada duit, awak tengok sajalah orang beraya...".
.
Walaupun ketika itu aku baru berumur sembilan tahun, aku tertarik kepada hujah lelaki ini.
.
"Macam aku ini, orang susah, bagi anak-anak apa yang termampu..."
.
Sejak itu, aku mula terfikir, masyarakat kita terbahagi kepada yang mampu dan yang tidak mampu. Mampu dan tidak mampu ini berasaskan kewangan kita. Oleh itu, kita kena ada banyak wang! Kalau tidak ada banyak wang, kita sekadar menjadi penonton.
.
Apabila aku di darjah empat, bapa dan emak pergi beli baju raya untuk aku. Baju itu dibeli di Bazar Jual Murah. Sampai rumah diberi saja baju itu pada aku. Tidak ada pilihan untuk menentukan fesyen, corak dan warna. Apa yang dibeli itulah yang terpaksa aku terima. Aku dapat dua helai baju dan dua helai seluar. Entah di mana silapnya, baju raya yang pakai asyik koyak. Kainnya reput. Baju itu pula aku pakai semasa pergi rumah tok di Jelutong. Masa petang, balik rumah, aku jadi macam Hulk. Serabai baju koyak sana sini.
.
Semasa di darjah lima, bapa beli baju putih dan seluar biru untuk dijadikan baju raya. Bapa kata jimat. Esok buka sekolah dah ada baju sekolah. Dua dalam satu.

Semasa di tingkatan satu, aku masuk belajar di Penang Free School. Aku dah malu pakai seluar pendek. Tapi bapa dan emak aku pergi beli seluar pendek dan baju petak-petak untuk aku.  Suka tak suka, aku pakailah seluar pendek untuk beraya. Pergi bandar pun pakai seluar pendek.
.
Naik tingkatan dua, bapa ada duit lebih. Bapa bagi duit RM15.00. Aku beli seluar jeans yang poket banyak. Seluar murah. Tiga empat kali basuh, jadi sendat. Cukup ranggi masa itu. Baju pula warna biru muda. Emak aku jahit. Sepasang saja. Tapi cukuplah. Tiga hari pakai baju tu. Masa tu raya tak pi mana-mana. Hanya pi rumah Tok Wan, Tok Bi dan Tok Jah. Pergi pun seorang seorang. Pi pula kayuh basikal. Anak remaja...!
 .
Tingkatan tiga merupakan saat yang cukup indah. Seluar aku tempah di kedai. Kasut beli kasut Bata yang boleh pakai pergi sekolah. Dua dalam satu. Baju, aku ambil baju adik aku. Cukuplah. Pergi manapun, pakai baju dan seluar itulah. Macam uniform kerja pula.
.
Bila naik tingakatan lima, bapa tak cukup duit. Bapa kena utamakan adik-adik. Bapa bagi RM10.00 suruh aku beli baju raya. Lawak betul. Mana nak dapat baju raya RM10.00. Puas cari dari satu kedai ke satu kedai. Akhir sekali jumpa Cina jual baju longgok tepi jalan. Kata Cina itu taukeh dia lari. Jadi dia jual baju itu murah-murah. Dapatlah baju raya berharga RM10.00.
.
Entah dari mana, bapa dapat kain seluar. Dia bagi aku dan suruh buat seluar. Warna kain pula warna pink. Ala...lawak lawak. Tak kan aku nak pakai seluar warna pink. Yang sakit hati, Cina tukang jahit itu buat seluar terlalu ketat. Bapa bising pada aku. Aku kata bukan salah aku. Tapi salah tukang jahit. Sejak itu, aku tak minat upah jahit seluar. Aku suka beli yang sudah jahit siap.
.
Masa itu, aku teringin sangat kasut clog. Phew... masa itu ramai yang pakai kasut clog ni. Bentuknya macam feri Pulau Langkawi, tutup depan saja. Belakang terbuka. Ala... macam kasut kayu orang Belanda. Bapa tak mahu beli. Dia tak berkenaan kasut macam tu. Aku sedih juga. Nanti kawan-kawan kata, aku ni tak ada taste. Nak buat buat macam mana. Apa yang bapa aku beli, itulah yang aku dapat. Akhirnya bapa beli kasut Bata bentuk macam kasut clog juga. 
.
Aku bersyukur kerana walau pun aku dari keluarga yang susah, namun bapa telah bersusah payah menyediakan kelengkapan untuk hari raya. Bila aku fikir-fikir, ada orang yang lebih susah dari aku. Kawan aku terpaksa mengambil upah panjat pokok kelapa untuk membeli pakaian raya. Ketika kawan-kawan yang lain bergembira semasa hari raya, beliau terpaksa turun ke laut untuk menangkap ikan bagi menyara kehidupan harian. Aku dapat tahu, beliau kini bertugas sebagai anggota polis berpangkat korporal di Bukit Kayu Hitam.
.
Inilah nasib kita. Mungkin semasa kecil, kita susah. Tapi mungkin nasib kita akan berubah bila kita meningkat dewasa. Aku biasa melihat, anak-anak orang beradaya di kampung. hidup mewah. Pakaian raya, phew..., berpasang-pasang. Fesyen terkini. Tapi hari ini nasib mereka berubah. Mereka pula menjadi penonton melihat hidup kita. Hidup ini ibarat roda...
.
Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin untuk semua...