Entah kenapa, aku suka berkhemah di pantai Kerachut. Mungkin kerana pantainya yang cantik dan bersih. Atau suasana kehijauan hutan yang membuat aku tenteram di situ.
.
.
Kejadian ini berlaku ketika aku terlibat dengan kursus kepimpinan pelajar di pantai Kerachut. Semasa program ini dijalankan, para pelajar bertolak dengan bas pada jam 5.30 petang. Mengikut perkiraan masa, bas yang membawa para pelajar akan sampai di Teluk Bahang sekitar 6.30 petang. Mereka akan bertolak dari Teluk Bahang ke Pantai Kerachut sebaik sampai.
.
.
Selepas waktu pejabat pada jam 5.10 petang aku bergegas pulang dan siapkan keperluan untuk menyertai kumpulan pelajar ini. Jam 6.30 petang aku mula memandu ke Teluk Bahang. Puas memujuk, merayu dan memaksa, isteriku bersetuju mengikut menemani aku ke pantai Kerachut.
.
.
Kami sampai di Teluk Bahang jam 8.30 malam. Lambat sampai sebab kami singgah beli bekalan makanan. Honda CRV kesayangan ku, aku letak di hadapan Kompleks Persatuan Nelayan Telok Bahang. Aku dan isteriku mula mengatur langkah ke pantai Kerachut. Malam gelap pekat. Mungkin akan hujan.
.
.
Perjalanan kami sangat perlahan kerana isteriku terpaksa berhenti banyak kali untuk menghilang kepenatan. Aku mula gusar sebab isteri terlalu lambat sedangkan aku harus sampai dengan secepat mungkin. Aku kasihan melihat isteri yang kadang kala terpaksa merangkak naik bukit. Kadang kala dia tersebam tersadong akar pokok. Bukan mudah berjalan meredah hutan pada malam hari yang gelap pekat dengan berpandukan cahaya lampu suloh dengan dua bateri saiz sederhana.
.
"Kalau you nak jalan cepat-cepat, you tinggal sahaja I di sini..." Isteri melepas kekecewaan di tengah-tengah hutan.
.
.
Selepas dua kali menukar bateri, lampu suloh padam. Waktu itu kami telah menuruni anak bukit dan sampai di sebuah jambatan kecil dan terdapat sebuah wakaf di situ. Kawasan tanah di situ agak lembut. Aku pasti kami sudah hampir ke pantai Kerachut. Jam Casio Mudman menunjuk 11.30 malam. Sepatutnya kami sudah sampai kekawasan perkhemahan. Isteriku tersandar keletihan di banir pokok. Mukanya merah dan dihiasi bintik-bintik peluh. Nampak lebih cantik pula isteri aku bila dalam keadaan begitu.
.
.
"Lain kali, I tak mau mai dah." Isteriku mengeluh.
.
.
"Oklah.." Aku membalas cakapnya. Lain kali, lain cerita. Lain kali aku akan paksa dia ikut aku lagi. Aku akan atur strategi supaya dia ikut aku lagi.
.
.
Aku berjalan ke hadapan mencari laluan ke pantai Kerachut. Aku nampak bekas tapak kaki manusia tetapi jejak itu seperti menghala masuk ke celah-celah rimbunan pokok-pokok. Mustahil jejak mereka boleh hilang di hadapan rimbunan pokok-pokok besar itu. Rimbunan pokok-pokok itu tebal pula. Pokok-pokok di hadapan aku bagai menjadi tembok menghalang perjalanan aku. Aku pasti tapak kaki tersebut adalah tapak kaki pelajar-pelajar yang menyertai program kepimpinan pelajar.
.
.
Aku mula tidak sedap hati dan berasa seram.
.
"Ceh... kau nak usik aku ya...!. Tiba-tiba bisik hatiku. Aku rasa ada sesuatu yang tidak kena. Jenuh aku mencari jalan tetapi tidak jumpa. Mustahil rimbunan pokok-pokok itu boleh tumbuh di tengah-tengah laluan. Sudah beberapa kali aku lalui kawasan itu tetapi tak perasaan pun ada rimbunan pokok di tengah laluan.
.
"Ceh... kau nak usik aku ya...!. Tiba-tiba bisik hatiku. Aku rasa ada sesuatu yang tidak kena. Jenuh aku mencari jalan tetapi tidak jumpa. Mustahil rimbunan pokok-pokok itu boleh tumbuh di tengah-tengah laluan. Sudah beberapa kali aku lalui kawasan itu tetapi tak perasaan pun ada rimbunan pokok di tengah laluan.
.
.
Aku teringat petua beberapa orang yang mahir bab masuk hutan. Kata mereka, jangan bergerak kalau sudah hampir pukul 12.00. Tak kira tengah hari atau malam. Aku berpatah balik ke isteri aku yang masih terbaring melepas lelah.
.
.
"Kita tidur di sini." Bagai seorang platun komander aku bersuara. " Buka ponco dan buat lapik tidur".
.
.
Aku kembali ke tempat laluan tadi. Sampai di hadapan rimbunan pokok-pokok itu, aku merangkak perlahan-lahan masuk celah rimbunan pokok-pokok itu. Ini petua yang pak Brahim bagi pada aku. Dia kata kalau sesat dan tak jumpa jalan keluar cuba merangkak. Alhamdulillah, di sebalik rimbunan pokok tadi aku nampak cahaya lampu suloh. Aku terus ke arah cahaya lampu suloh tadi. Ada sekumpulan remaja yang sedang menangkap udang di situ.
.
.
Selepas memberi salam aku bertanya kalau mereka mahu ke pantai Kerachut. Mereka agak terkejut melihat aku. Selepas puas merenung aku, mereka memaklumkan memang mereka berkhemah di pantai Kerachut dan aku boleh ikut mereka selepas mereka berkemas.
.
.
Aku kembali menjemput isteri aku. Selepas menyorok beg galas dan khemah di celah banir pokok, aku dan isteriku kembali menyertai kumpulan remaja tadi. Mereka membawa kami ke pantai Kerachut. Jam 1.00 pagi, kami sampai ke tapak perkhemahan pantai Kerachut. Para pelajar yang khuatir menanti kami gembira melihat kami sampai dengan selamat.
.
.
Pada keesokan pagi, aku pergi mengambil beg galas dan khemah yang kami sorok semalam. Dan pokok-pokok besar di tengah jalan tidak ada pula...!