Khamis, September 10, 2009

KUNJUNG MENGUNJUNG ERATKAN HUBUNGAN KEKELUARGAAN!

kunjung mengunjung amalan mulia
.
Aku kira Aidilfitri wajar dijadikan hari untuk kunjung-mengunjung dan bermaaf-maafan.

Dahulu, ketika aku baru berkahwin, aku sentiasa suka mengunjungi saudara mara dan ipar duai aku. Semasa aku tinggal di Trolak, Sungkai, Perak, setiap kali aku balik ke Pulau Pinang, aku pasti singgah rumah mereka untuk bertanya khabar. Kemudian, apabila aku berpindah ke Pulau Pinang, aku masih sering mengunjungi ipar duai aku agar hubungan kekeluargaan bertambah intim.
.
bertegur sapa antara tua dan muda

kunjung mengunjung tanpa kira status sosial

Namun, saudara mara dan ipar duai aku tidak pula datang berkunjung dan bertandang ke rumah aku. Lama-lama aku menjadi tawar hati dan malu untuk berkunjung dan menziarah mereka. Bukan apa, aku fikir mungkin mereka tidak suka kepada aku. Hanya aku terhegeh-hegeh menziarah mereka. Aku berasa hiba bila aku dapati mereka sanggup melawat saudara yang tinggal jauh tetapi aku yang dekat sepelaung pun mereka lupakan.
.
Adat hidup orang merempat,
tidak ada harta tidak ada pangkat,
hilanglah saudara, hilang sahabat,
memandang kita dengan meluat.
bagai sampah tidak diangkat
di sudut dunia kita melarat....
.
Adat hidup bersaudara
Saudara yang jauh menjadi orang
Orang yang dekat menjadi saudara...

Malah anak-anak saudara isteri aku ada juga yang tidak pernah datang ziarah kami. Isteri aku cukup sedih. Apatah lagi ada antara mereka yang isteri aku mengasuh mereka semasa mereka masih kecil. Isteri aku juga pernah kecewa bila dia tidak dijemput ke majlis pertunangan anak saudaranya. Ketika kami sampai ke rumah berkenaan, mereka baru mengadakan majlis pertunangan. Hidangan masih di atas meja. Kami pulang tanpa menjamah hidangan kerana tidak mahu dikatakan tetamu yang tidak diundang.

Tapi aku cukup terkilan dengan seorang seorang anak saudara perempuan isteri aku yang buat aku meluat berjumpa dengan dia. Bila aku berjumpa dengan dia, dia tidak bertegur sapa dengan aku. Apatah lagi untuk melempar senyum mesra atau berjabat salam. Kadang-kadang dia alih pandangan ketika kami bertembung. Tetapi dengan isteri aku, dia layan berbual, mengumpat itu dan ini dan menjemput isteri aku bertandang ke rumahnya. Aku jadi serba salah bila isteri aku ajak ke rumah anak saudara perempuan ini.

Mungkin betul kata kawan-kawan tentera,
kalau suaminya Mejar,
isteri lagak macam Brig Gen,
.
Kami pula nak kena merendah diri untuk menziarah anak saudara ini? Bukankah lebih berbudi dan terpuji, lebih santun, lebih berbahasa kalau dia dan suaminya yang menziarah kami.
.
Adat orang tidak berilmu...begitulah.
Langit tak tercapai tangan,
kaki pula tidak terpijak bumi.

Namun, ada juga anak-anak saudara isteri yang berbudi bahasa dan bersopan santun dan kerap mengunjungi kami. Tapi jangan pula datang untuk menjual produk jualan langsung. 
.
Jadi di manakah erti kekeluargaan kalau dalam sebuah keluarga pun ada amalan apartheid,..?