Khamis, September 10, 2009

YAAKOB BIN PUTEH

Emak dan bapa

bapa
.
emak

Tanggal 29 Ogos 2008, jam 4.20 petang, bapa aku meninggal dunia.
.
Bapa dilahirkan Kampung Air Tawar, Setiawan, Perak. Bapa merupakan anak kedua kepada pasangan Puteh bin Md. Kafi dan Sabariah bt. Md. Ros. Tok Wan aku, dikenali sebagai Cikgu Puteh.
.
Bapa bersekolah setakat darjah empat. Beliau tidak dapat meneruskan persekolahan kerana peperangan dunia kedua meletus. Ketika itu bapa menetap di rumah guru, Telok Bahang, Pulau Pinang. Bangunan rumah guru itu berhampiran bulatan Telok Bahang - Balik Pulau. 
.
Bapa suka bercerita kepada aku dalam usia yang muda beliau menyeludup ikan mahal untuk dijual di pasar di Georgetown semasa perang dunia kedua. Ikan tersebut akan disorok di bawah guni yang di atasnya diletak bakul besar muat dengan ikan biasa. Tentera Jepun tidak mengesyaki apa-apa. Tujuan bapa menceritakan hal ini ialah untuk memberitahu dalam usia yang muda, bapa sudah terpaksa bekerja untuk menyara kehidupan beliau.
.
Bapa juga pernah bercerita bagaimana beliau dan kawannya berjumpa dengan lembaga agam di pantai Kerachut. Ketika itu hampir maghrib dan hujan turun renyai-renyai. Bapa dan kawannya berteduh di pantai Kerachut sementara hujan berhenti. Bapa menghidupkan unggun api untuk menghilangkan kesejukan. Tiba-tiba muncul “Belian”, sejenis makhluk seperti gergasi. Lembaga itu menghampiri bapa dan kawannya. Apabila lembaga itu sudah dekat menghampiri mereka, bapa berbisik meminta kawannya untuk bergerak perlahan-lahan menunggu di perahu di tepi pantai. Apabila lembaga itu benar-benar sudah dekat, bapa mengambil puntong bara api dan membaling ke arah muka lembaga itu. Kemudian bapa, berlari sekuat hati ke arah kawannya yang sedang menunggu di dalam perahu. Mereka terus berkayuh meninggal pantai hingga mereka sampai ke Telok Bahang.


bapa ketika mengikut aku ke Kelantan semasa perkahwinan Zuqisti...
.
Selepas perang tamat, keluarga bapa berpindah ke Jelutong. Masa itu, bapa aku bekerja sebagai kelasi kapal. Dalam usia belasan tahun, bapa berkesempatan belayar ke Indonesia dan Burma.
.
Kemudian bapa berkhidmat sebagai tentera dalam Royal Army Service Corps (RASC) British Army di Singapura. (Anak-anak aku mengusik dengan mengatakan bapa aku tentera penjajah) Selepas tamat latihan rekrut tentera di Nisun, bapa ditugaskan aku mengendali “marine craft” dan “landing craft” untuk menghantar tentera British melaksana operasi ketenteraan terutama melalui sungai-sungai di Johor dan Pahang. Beliau pernah bertembung dengan gerombolan komunis selepas mendaratkan tentera British di Kukup, Johor. Selepas berbalas tembakan, bapa dapat berundur ke tengah laut Johor. Lain-lain tugas ialah menyelamat mangsa banjir di sekitar Muar dan Kota Tinggi.
.
Bapa berkahwin dengan emak, Siti binti Akob pada tahun 1954. Siti binti Akob adalah anak kepada Akob dan Fatimah. Tok Akob adalah orang Bugis Melaka sementara Tok Timah adalah keturunan Sikh. Perkahwinan bapa dengan emak adalah atas pilihan Tok Wan. Tok kurang bersetuju bersetuju dengan pilihan Tok Wan. Tok aku mau bapa kahwin dengan sepupu bapa. Tapi Tok Wan keras dengan pilihan beliau. Gambar persandingan bapa dan emak keluar pada surat khabar jawi pada masa itu.
.
Selepas berkahwin, bapa membawa emak ke Singapura. Bapa membawa emak balik ke Pulau Pinang ketika emak hendak melahirkan aku. Selepas pantang, emak dan aku dibawa oleh bapa ke Singapura semula. Bapa menyewa rumah di Pulau Berani. Dari Pulau Berani, kami berpindah ke Clementi Estate, kawasan kediaman tentera British.
.
Apabila ancaman komunis kian meningkat, bapa diperintah bertugas di Sarawak. Bapa enggan berpindah dan memohon untuk menamatkan perkhidmatan beliau dengan tentera British. Selepas tamat perkhidmatan, bapa balik ke Jelutong dan bekerja sebagai nelayan. Selang tidak berapa lama, bapa menerima tawaran untuk berkhidmat dengan Royal Australian Air Force (RAAF) sebagai “Marine Fitter” mengendalikan “landing craft” tentera udara diraja Australia. Antara tugas bapa memastikan keselamatan orang awam tidak mencerobohi kawasan latihan menembak jet pejuang tentera udara diraja Australia di sekitar Pulau Bidan. Bapa aku ditamatkan perkhidmatan apabila perkhidmatan tentera Australia di Malaysia ditamatkan. Bapa pernah berjanji untuk membawa aku melawati Pulau Bidan. Tetapi hingga akhir hayat, beliau tidak membawa aku ke Pulau Bidan.
.
Dengan simpanan dan duit graduati yang didapati, bapa membuka sebuah bengkel membaiki motosikal. Perniagaan bapa terus berkembang apabila beliau turut membuka sekolah memandu dan kerja kontrak kelas F. Perniagaan ini telah memberi pendapatan yang agak lumayan kepada keluarga aku. Majoriti pelanggan bengkel motor dan sekolah memandu bapa adalah pelajar-pelajar Universiti Sains Malaysia. Bapa cukup dikenali di kalangan pelajar USM ketika Universiti ini baru ditubuhkan.
.
Bapa terus menjalan perniagaan beliau hingga saat-saat akhir beliau menghembus nafas terakhir.
.
Bapa seorang yang tegas, peramah tetapi cepat panas baran. Bapa cukup tegas dengan aku. Dia melayan aku sebagai seorang anggota tentera. Bapa pernah memukul aku dengan kayu api hingga patah kayu api itu. Nasib baik Tok tolong leraikan. Masa itu, aku baru berumur 5 tahun. Aku sendiri tidak tahu apa kesalahan hingga bapa pukul aku begitu sekali. Semasa aku berada di darjah satu, bapa juga pernah memukul aku dengan paip getah hingga aku terkencing sebab aku tidak menyiap kerja sekolah.  Malah selepas sekolah juga bapa pernah membelasah aku bagai tawanan perang. Mungkin johan kena pukul dengan bapa ialah aku dan adik aku Zubir. Zubir telah meninggal dunia lebih awal dari bapa.


Bapa juga sering memberitahu kawan-kawannya bahawa aku sebenarnya adalah anak angkatnya. Dia jumpa aku dalam hutan ketika menjerat burung. Kadang-kadang gurauannya ini membuat aku terfikir, apakah aku ini memang anak pungut? Entahlah... walau apa pun, bapa selalu sebut dia bangga dengan aku. Aku anak yang tidak membantah cakapnya.
.
Beberapa bulan sebelum bapa meninggal, dia tidak boleh tidur. Kami adik beradik bergilir-gilir melayan bapa sehingga dia tertidur. Aku pernah membawa bapa aku ke Gurney Drive untuk menikmati suasana malam. Kami berada di situ dari pukul 11 malam hingga pukul 5 pagi. Hampir subuh baru aku bawa bapa pulang.
.
Bapa sempat berpesan, ada beberapa orang yang berhutang dengannya. Tetapi dia tidak mahu aku atau adik-adik yang lain menuntut hutang tersebut. Kalau mereka bayar, ambil. Berikan kepada emak aku. Jika tidak halalkan. 
.
Apa yang aku banggakan, aku dan adik-adik saling menjaga bapa ketika dia sakit. Kami mandi dan basuh najis beliau. Bagaimana bapa membelai kami, begitulah kami membelai bapa.

9 pagi, 28 Ogos 2008. Nan, adik aku telefon memaklumkan bapa bertambah tenat. Aku tidak jadi ke pejabat. Risau juga sebab lusa hari Sabtu ada konvokesyen khas. Aku pula bertugas sebagai prompter. Aku pergi ke rumah bapa. Aku jumpa bapa dan picit-picit kaki tangan bapa. Jiran-jiran ada yang berkumpul membaca Yassin. Selepas sejam bapa nampak pulih sedikit. Aku, dan Nan ada bersama bapa. Tiba-tiba aku tanya bapa, bapa nak pergi bersiar-siar. Bapa setuju untuk ikut aku. Jadi aku, bapa, emak dan Nan bawa bapa ke Tesco Jelutong. Kebetulan emak hendak beli roti kegemaran bapa di Tesco.

Semasa di Tesco, Nan terjumpa dengan doktor yang merawat bapa. Dia bertanya tentang bapa. Nan jawab kata bapa ada dalam kereta di bawah. Doktor tersentak bagai tidak percaya bapa mampu untuk bersiar-siar dengan kami. Dari Tesco aku bawa bapa ke Ivory Height. Kami singgah di restoran Khaleel untuk beli bapa teh ais. Sambil menyedut teh aku memandu mengikut jalan Komplek Desasiswa Restu, Saujana dan Tekun. Aku tanya bapa kalau-kalau dia hendak singgah rumah aku di Desasiswa Tekun. Dia jawab dia tidak larat untuk naik tangga rumah aku. Jadi aku terus hantar bapa balik.     
.
29 Ogos 2009. Seleps solat Jumaat, aku dan Dr. Affendi pergi ziarah bapa di rumah. Bapa dah tidak boleh bercakap dan bergerak. Selepas menghantar Dr.Affendi balik, aku ke Bank Simpanan Nasional untuk mengeluarkan wang. Kalau bapa meninggal hujung minggu nanti, aku sudah ada duit untuk mengurus jenazah bapa. Sebelum berpisah, aku suapkan ubat ke mulut bapa. Bapa berdehem seperti memarahi aku. Airmatanya mengalir membasahi pipi. Aku berbisik kepada beliau bahawa aku nak bapa cepat sembuh. Sebab itu aku suapkan ubat 
.
Aku berada di Bank Simpanan Nasional USM. Jam Casio Mudman di tangan aku menunjuk pukul 4.20 minit. Kerani bank sedang menguruskan pengeluaran wang. Aku terima panggilan telefon dari Nan, adik aku.
.
“ Zol... bapa dah tak dak....”
.
Aku tabah menerima berita itu. Selepas menerima wang, aku terus bergegas pulang. Sampai di rumah, aku lihat mayat bapa telah diletak dengan sempurna di atas katil. Jiran dan orang kampung sudah ramai berkumpul di rumah. Aku tenang menatapi jenazah bapa.
.
Kemudian, aku terus ke pejabat Bahagian Pengurusan Sumber Manusia mencari Encik Nor Hamizi. Beliau sedang bermesyuarat di bilik mesyuarat Jabatan Pendaftar. Aku serah kepada beliau dokumen-dokumen penting untuk konvekesyen khas yang akan diadakan pada keesokan hari. Dan selepas itu, aku terus pulang untuk berada di sisi bapa aku buat kali terakhir.
.
Bapa pernah berpesan kepada aku. “ yang mati tetap mati, yang hidup teruskan perjuangan....”
.
Al fateha buat Yaakob bin Puteh, bapa aku...