Khamis, Oktober 01, 2009

TEMPATNYA DI SYURGA, KITA BAGAIMANA...?


Pengalaman kebumikan mayat pada waktu malam
.

Kampung Sungai Gelugor bertuah kerana ada anak muda
yang sanggup membantu menguruskan jenazah..
.
 
Kerja mengali kubur memerlukan ketabahan dan keberanian...
.
 
Mayat dibaringkan dalam liang
.
Isnin, 28 September 2009. Aku pulang kerja agak lewat hari itu. Sampai rumah hampir 7.00 malam. Kepala pula berserabut dengan masalah kerja. 

Aku masuk bilik tidur dan baring untuk tenangkan fikiran sementara menanti masuk waktu maghrib dan waktu makan malam.  Tiba-tiba telefon bimbitku berdering. Dengan malasnya aku menjawab. Rupanya mak aku yang membuat panggilan.

" Zol, hang ada mana...? Mak bertanya. Nada suaranya cemas.

"Ada di rumah...: Aku menjawab. Tenang dan bersahaja.

"Hang dan Fazilah mai rumah sat. Ampa mai cepat sikit." Mak aku bersuara. " Che Pah keguguran. Anak dia meninggal".

Aku pun bingkas bangun dan berjumpa dengan isteriku yang khusyuk menonton TV. 

"Jom pi rumah mak." Aku tercegat memandang isteriku." Che Pah keguguran. Anak pula meninggal...".

"Nak kena salin baju..." Isteriku bangun dari kerusi kayu jati. Kerusi jati yang aku beli dari kedai berhampiran bulatan Bukit Mertajam. Kedai yang jual kerusi kayu jati ini pun dah tutup.

Lama juga aku menanti isteriku berkemas. Hatiku bergerutu menanti beliau. 

Semasa mengatur langkah ke kereta isteriku mencadangkan aku turut mengajak anak aku, Zuyanti ikut sekali. Aku pun menelefon Zuyanti dan mengajak beliau untuk ikut ke rumah mak aku. Lepas itu aku rasa bersalah pula sebab tidak minta izin dari suami beliau. 

Lama menunggu Zuyanti turut ke tempat kami sedang menunggu. Kemudian Zuyanti menelefon dan memohon aku pergi dahulu. Beliau dan suami beliau akan menyusul kemudian.

Sampai di rumah mak aku, Mohd Adnan, adik aku sedang menanti di ruang tamu. 

"Cik Pah keguguran. Dia ada di hospital. Anak umur 4 bulan". Mohd Adnan memulakan perbualan.

Mak melangkah keluar dari dapur. Mak minta tolong aku dan isteriku membantu untuk menguruskan jenazah bayi yang berusia 4 bulan tu. Mayat bayi itu sebesar tapat tangan aku. Lengkap anggota badannya. Mata, hidung, mulut dan telinga juga dah ada. Kecuali rambut. Atas kepala ada selaput hitam. Mungkin itulah yang akan jadi rambut. Aku perhati puas-puas bayi tersebut. Anak lelaki. Aku nampak macam anunya.

Kemudian Bakar Om sampai. Bakar akan bagi mandi dan kapan bayi tersebut. Sekejap sahaja Bakar Om melaksanakan kerja-kerja beliau. Sambil mengurus jenazah bayi tersebut, Bakar Om bercerita tentang nasib bayi itu. Katanya bayi itu akan menunggu ibubapanya di pintu syurga. Bakar Om juga menyatakan bayi itu meninggal tanpa melakukan apa-apa dosa. Selepas itu, Bakar Om membawa bayi tersebut ke masjid jamek Sungai Gelugor. Aku ikut dengan menantu aku. 

Masuk waktu solat Isyak. Selepas solat Isyak, Bakar Om dan bebarapa makmum dan aku pergi ke tanah perkuburan. Aku masuk ke tanah berkubur berpandukan cahaya lampu suluh yang aku beli di Wakaf Che Yeh. Berbaloi juga beli lampu suluh ini. RM 8 aku bayar untuk lampu suluh itu.  

Seorang pemuda yang berbadan gempal mengali kubur untuk bayi tersebut. Kubur bayi tidak dalam. Selepas itu, mayat bayi tersebut pun dikebumikan. Sunyi dan hening ketika itu. Kemudian aku mengetuai bacaan doa untuk bayi tersebut.

Nasib bayi tersebut telah kita ketahui. Nasib kita, entah bagaimana...?