Rabu, September 30, 2009

BUKAN AKU TAK SUDI...

Aku ada terbaca satu post pada satu blog tentang seorang suami yang tidak membenarkan isterinya untuk menziarah saudara maranya isterinya.

Aku rasa seperti membaca tentang diriku pula. Bak kata orang, siapa makan cili pasti dia terasa pedasnya. Atau siapa makan nangka, pasti dia terkena getahnya...

Isteri aku pernah berkata, aku ini seorang yang sukar difahami. Menurutnya lagi, aku seorang manusia yang susah untuk berinteraksi dengan orang lain. Aku lebih mementingkan diri sendiri. Duussshhhh...sebiji peluru motar 60mm terkena tepat ke muka aku. Habis hancur berderai, berselerak tubuhku. Katalah apa saja, aku tetap aku. Jatuh bangun diri aku bukan akan ada orang yang sudi membantu nanti. Pengalaman yang mengajar aku.

Aku mengaku, aku tidak suka isteri dan anak-anak aku untuk menziarah saudara mara tertentu. Bukan apa, manusia rambut sama hitam (kecuali yang warnakan rambut), hati lain-lain.  Aku takut saudara mara berkenaan tidak suka kehadiran aku, isteriku dan anak-anak aku. Setiap kali aku berjumpa mereka, ada saja celoteh mereka yang menyakit hati aku. Ada saja tingkah laku mereka yang membuat aku rasa kecil hati.Ada sekali aku nak tumpang kereta saudara aku, dia tidak benarkan...takut lantai keretanya roboh. 

Seingat aku, aku rajin menziarah saudara mara isteriku. Kadang hampir setiap minggu. Aku telah mengenepi saudara maraku sendiri.Lama-lama, aku perasaan, hanya aku sahaja yang menziarah saudara mara isteriku tetapi mereka tidak pernah bertanya khabar atau menziarah aku. Bukan sekadar mereka, tetapi anak-anak mereka pun tidak pernah menegur sapa atau sudi menziarah aku. Pada kotak fikir aku, mungkin orang tidak suka kepada kita.... hanya kita bersungguh-sungguh menjalin persaudaraan tetapi orang melihat kita seperti melukut di tepi gantang.

Aku pernah pergi ke rumah saudara mara ni. Sampai di rumah aku dijemput masuk dan dijamu. Tetapi sambil aku menikmati jamuan di rumahnya, aku dikutuk dan dimarahi. Manakah tata susila dan adab terhadap seorang tetamu? Isterinya pula bila jumpa aku, kerap menyindir pasal pendidikan anak-anak aku. Pernah dia mengatakan, buat apa belajar tinggi-tinggi. Nak hidup senang, kahwin saja dengan orang kaya. Aduh...jumudnya otak saudara perempuan ini. Orang kaya mana nak kahwin kalau muka macam sardin.

Dengan hati yang berat, aku pun berat melangkah ke rumah mereka...dan mula mencari saudara maraku yang telah lama aku tidak ziarah.


Isnin, September 28, 2009

MAT HASSAN


Mat Hassan Ismail dan Faridah
.

Faridah, isteri Mat Hassan
.

Mat Hassan...
.

Kami suka bercerita tentang pengalaman lampau...

Kemalrin, 28 September 2009, aku pergi ziarah Mat Hassan. Mat Hassan gembira menyambut kedatangan aku dan isteriku. Segera dia pelawa kami masuk ke ruang tamu rumah teres setingkat miliknya di Bertam Perdana.

Mungkin itu kali ketujuh aku ke rumah Mat Hassan sejak dia pindah ke Bertam Perdana.

Mat Hassan bukan orang lain dengan aku. Dia adalah sepupu kepada emak aku. Dalam bahasa yang sukar diterangkan, dia adalah bapa saudara sepupu kepada aku. Semasa kecil, Mat Hassan kerap sakit. Pernah sekali ketika mendapatkan rawatan, doktor memaklumkan bahawa Mat Hassan tidak mempunyai harapan untuk hidup lagi. Doktor menasihatkan Mat Hassan dibawa balik ke rumah dan menunggu detik terakhirnya. Rupanya, cakap-cakap doktor itu tidak benar. Mat Hassan kini sudah menjangkau umur 60 tahun. Selepas bersara dari Tenaga Nasional Berhad (TNB), Mat Hassan menghabiskan sisa usianya dengan duduk-duduk di rumah atau keluar makan angin.

Semasa aku umur setahun, bapa aku bina rumah sebelah rumah Tok Bi. Tok Bi adalah emak saudara kepada emak aku. Tok Bi merupakan emak kepada Mat Hassan. Tok Bi ni keturunan Sikh. Suaminya, Tok Mel keturunan Siam. Tok Mel, seorang bomoh yang cukup terkenal di Jelutong. Tok Bi adalah tujuh orang anak. Aku rapat dengan anak-anak Tok Bi. Mereka mengasuh aku semasa aku masih kecil. Bila keluargaku pindah ke Gelugor, aku akan pergi ke rumah Tok Bi dan bermalam di sana dua tiga hari semasa cuti sekolah.  Aku suka tinggal di rumah Tok Bi. Masakan Tok Bi cukup sedap. Tok Bi suka masak gulai dengan mencampurkan asam Belimbing. Tok Bi masak guna dapur kayu. Dan suka suka tiup menggunakan besi bulat supaya api lebih marak ketika hendak memasak.

 Aku masih ingat Mat Hassan dan Kiah kerap membawa aku jual kuih keliling Jelutong. Seronok ikut mereka jual kuih. Ada sekali, semasa jual kuih, jualan terjatuh. Cepat-cepat Mat Hassan ambil dan bersihkan. Bila ada orang bertanya kenapa ada pasir pada kuih, Mat Hassan jawab itu bukan pasir tapi gula. Jawapan Mat Hassan tidak menjadi. Pernah juga masa tengah jual kuih, hujan turun dengan lebat. Masa itu, kami guna daun pisang buat berteduh, menahan air hujan. Sangat seronok.  

Ada juga Mat Hassan ajak aku pi main ski. Bukan main ski betul-betul. Tapi main lomgkang di pasar Jelutong.  Kami masuk dalam longkang yang berlumut dan gelungsor. Memang kotor. Tapi nak seronok tak ingat pun pasal kotor. Bila balik, Tok Bi dapat tahu. Dia bising marahkan Mat Hassan.

Mat Hassan berkahwin dengan rakan sekerja semasa sama-sama kerja di kilang sardin. Dia menyelamatkan rakan pekerja itu dari mati lemas. Kemudian sebagai membalas budi baik Mat Hassan, perempuan itu sudi berkahwin dengan Mat Hassan. Malangnya, perempuan itu meninggal dunia. Mat Hassan kahwin pula dengan kakak perempuan itu. Berganti tikar kata orang tua-tua.

Selepas aku berkahwin, aku tidak lagi berjumpa dengan Mat Hassan. Malah aku tidak tahu dia berpindah kemana. Hampir 20 tahun aku tidak berjumpa Mat Hassan.

Suatu hari, seorang kawan aku pergi ke hospital swasta di Butterworth. Semasa melawat anak dia, dia terdengar seorang pesakit sedang bercakap bahasa Siam dengan seorang lelaki lain. Kawan aku perasaan pesakit yang sedang bercakap bahasa Siam itu, mirip muka aku. Dia beranikan diri bertanya sama ada pesakit itu kenal aku atau tidak. Menurutnya, muka kami hampir sama dan aku pun boleh berbahasa Siam. Pesakit itu kata, dia kenal aku. Pesakit itu ialah Mat Hassan. Kawanku pulang pejabat dan diberikannya kepada aku nombor telefon bimbit Mat Hassan. Lepas itu, aku hubungi Mat Hassan dan hubungan kami terjalin semula. 

Khamis, September 24, 2009

LAGI KEJADIAN ANEH DI PANTAI KERACHUT



Mohamad Naim menceritakan detik-detik cemas yang dilalui..
.

Aswad, abang Naim
.
Tiga tahun lalu, Syawal ketiga, anak saudara aku, Naim berada di rumah bapa saudaranya di Kampung Nelayan Telok Bahang. Selepas makan tengah hari, Naim bersama dua orang sepupu mereka bermain-main di hadapan restoren "Sila O Sila".

Kemudian, mereka didatangi enam lelaki Cina . Cuma daripada enam lelaki Cina ini, tiga orang berseluar pendek tanpa berbaju sementara tiga orang lagi berseluar pendek dan berbaju. Lelaki Cina itu bertanya arah untuk ke Pantai Kerachut. Ketiga-tiga sepupu menjawab mereka tidak tahu jalan ke Pantai Kerachut. Apa tah lagi untuk ke sana.
.
Selepas itu, Naim dan sepupunya tidak sedar apa yang berlaku. Cuma yang dia ingat, dia mengikuti keenam-enam orang Cina itu ke Pantai Kerachut. Sepanjang perjalanan Naim dan sepupunya tidak banyak bercakap. Mereka hanya mengikut enam orang lelaki Cina yang baru mereka berjumpa.
.
Menurut Naim, dalam perjalanan beliau ke Pantai Kerachut, beliau ternampak sebuah kampung yang mempunyai sawah padi yang besar, terdapat ramai orang kampung yang sedang mengerjakan sawah padi berkenaan. Malah terdapat juga beberapa ekor kerbau yang sedang membajak sawah. Pelik! Sunggoh pelik! Mana ada sawah padi dan kerbau di Telok Bahang. Apa tah lagi di Pantai Kerachut.
.
Kemudian, Naim tidak ingat apa lagi yang berlaku.
.
Suasana maghrib di pantai Kerachut sunyi sepi. Hari yang cerah tadi kini bertukar menjadi suram dan hampir gelap. Tiba-tiba Naim dan sepupunya tersentak dari lamunan. Tiba-tiba mereka dapati diri mereka berada di atas sebuah batu besar di tengah kuala sungai di pantai Kerachut. Mereka menjadi panik. Gelabah. Bila masa mereka sampai dan panjat batu tersebut. Untuk sampai ke batu besar itu mereka perlu berenang. Tapi pakaian mereka tidak basah pun. Malah kaki mereka dan kasut yang mereka pakai tidak ada kesan pasir laut. Mereka mula menanggis ketakutan. Mereka tidak ada upaya untuk turun 
.
Sementara itu, di kampung nelayan, Teluk Bahang telah kecoh tentang kehilangan Naim dan sepupunya. Seluruh penduduk kampung dikerah untuk mencari mereka. Puas mereka mencari di kampung-kampung di Teluk Bahang dan Taman Rimba. Tapi tidak jumpa. Malah ada sekumpulan penduduk kampung pergi mencari di Taman Belia. Namun Naim dan sepupunya tidak dijumpai.
.
Hari hampir maghrib dan kegelapan malam mulai melabuhkan tirainya. Sebuah perahu nelayan dari arah Muka Head bergerak meredah ombak menuju ke Balik Pulau. Deruan enjin sangkut perahu tersebut memecah kesunyian pantai Kerachut. Nelayan yang berhati-hati dalam waktu maghrib ternampak lembaga budak tiga orang di atas batu besar di tengah kuala sungai. Nelayan tersebut memperlahankan perahunya sambil bertanya kepada kawannya apakah benar yang yang beliau nampak. Kawan nelayan tadi mengesahkan terdapat tiga orang budak atas batu besar tadi.
.
Dengan hati yang curiga, nelayan dan kawannya menghampiri batu besar. Mereka menarik Naim dan sepupunya masuk ke dalam perahu. Dengan terketar-ketar Naim dan sepupunya merayu mereka dihantar pulang ke Teluk Bahang. Dengan rasa kasihan, nelayan tersebut berpatah balik ke Teluk Bahang untuk menghantar Naim dan sepupunya.
.
Akhirnya, Naim dan sepupunya dihantar sampai ke rumah. Keluarga Naim mengucapkan terima kasih atas budi baik nelayan tersebut. Walau bagaimana pun, misteri bagaimana Naim dan sepupunya sampai ke pantai Kerachut masih belum terjawab. Malah misteri siapakah enam orang Cina berkenaan pun masih belum terungkai. Dan bagaimana Naim dan sepupunya boleh berada di atas batu besar di tengah kuala pantai Kerachut pun menjadi teka teki.

Rabu, September 23, 2009

1 SYAWAL


Syawal menjelma lagi...
 .

Hari untuk bermaaf-maafan
.

Hari untuk mengeratkan tali silatulrahim
.
Selepas berbuka puasa, aku bergegas ke masjid untuk menunaikan solat magrib dan menunggu kedatangan Syawal. Aku siap sedia untuk bertakbir dan bertahmid. Tapi selepas mengerjakan solat Isyak, imam terus meninggalkan saf. Maknanya tak ada takbir...
.
Dengan kecewa aku melangkah pulang. Di rumah, sayup-sayup kedengaran takbir dari masjid Batu Uban. Aku sepatutnya ke masjid Batu Uban tadi. Salah perancangan!
.
Aku buka radio untuk mendengar takbir. Tak ada takbir. Cari stesen lain pula. Tak ada takbir juga. Semuanya stesen radio memainkan lagu-lagu raya. Sesekali diselit dengan ucapan raya artis dan pendengar. Mungkin lagu-lagu raya ini waijb dimainkan. Kalau tak main lagu raya, mungkin berdosa pula. Sebab itulah lagu-lagu raya dimainkan.
.
Tiba-tiba semasa aku buat penalaan, dapat stesen yang siarkan takbir raya. Stesen Mutiara FM. Baru tangkap syahdu. Baru terasa seperti berada di sebuah negara Islam. Tapi sekejap saja. Kemudian juruhebah radio kembali berceloteh sambil memainkan semula lagu-lagu. Mungkin lagu-lagu raya ini ritual untuk menyambut Aidilfitri. Lantak orang stesen radiolah. Kalau stesen radio ini hak bapa aku, aku akan siarkan takbir raya puas-puas. Ni cakap saja Malaysia negara Islam tapi program sambutan Aidilfitri macam apa-apa saja. Banyak sangat hiburan terkinja-kinja, tergedik-gedik...Macam sambut Krismas. Atau hari kemerdekaan.
.
Macam itulah kalau jati diri dan semangat cintakan agama tidak dipupuk dalam diri... Tapi bukan salah juruhebah radio. Salah kepala ikan. Kenapa salah kepala ikan? Sebab ikan busuk mulai dari kepala. Begitu juga dengan masyarakat kita. Haru biru masyarakat kita lantaran pemimpinnya yang buta agama...!
.
Pagi 1 Syawal, isteriku kejutkan aku. Agak kasar juga dia bersuara. " Dah lewat ni..cepat pergi mandi sunat Aidilfitri...".
.
Aku bagai budak kecil bergegas ke bilik mandi.
.
Selepas bersiap, aku pergi ke masjid Universiti Sains Malaysia, Masjid Al Malik Khalid. Sampai awal benar. Selepas mengambil wuduk aku mengerjakan solat sunat tahyatul masid dan kemudian duduk di sebelah Dato' Md. Salleh Yaapar. Bertakbir puas-puas.


Zulkarnain dan Zulfadli bersama Dr. Akbar Ali dan anak beliau.
.

Rakan-rakan pelajar dari luar negara...
.

Kumpulan perlajar ini pun rakan-rakan aku juga...
.

Tak ingat pelajar-pelajar ini dari negara mana...
.

pelajar-pelajar dari Libya, budak ini kawan baik aku...
.

Masing-masing segak bergaya mengenakan pakaian tradisional masing-masing
.
Selepas solat sunat Aidilfitri, aku pulang ke rumah. Anak menantu dan isteri berkumpul. Bersalam-salaman bermaaf-maafan. Isteriku yang mula dahulu. Kemudian dia duduk di sebelah aku. Zulkarnain yang sebagai anak yang tua ketika itu, bersalam bermaafan. Begitulah diikuti dengan menantu, anak-anak dan cucu. Lengkap seisi keluarga kecuali anak aku yang sulong, Zuyanti dan suaminya, Tarmizi, yang beraya di Tumpat, Kelantan. 
.

Zulfadli, Zolkifli dan Zulkarnain
.

Fazilah dan Zulkarnain
.
Selepas menikmati jamuan pagi, kami sekeluarga dengan tiga buah kereta bertolak ke tanah perkuburan Datuk Keramat. Jalan Datuk Keramat sesak. Tidak ada tempat meletak kereta. Isteriku mula membebel. Katanya balik ke rumah dan datang semula petang nanti. Prinsip aku, kalau dah datang, teruskan dengan niat kita. Jangan mengalah. Akhirnya dapat tempat letak kereta. Begitu juga anak-anak dan menantuku. Kami beli empat botol air cendana dan dua bungkus cebisan bunga. 
.

Anak-anak di kubur Tok Man dan Tok Timah
.
Selepas dua tiga kali berpusing, akhirnya jumpa kubur bapa dan emak mentua aku. Selepas menabur bunga dan menyiram air cendana, kami sama-sama mendoakan agar roh bapa mentau dan roh emak mentua dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama roh orang-orang beriman. Amin.
.
Dari tanah perkuburan Datuk Keramat, kami bergerak ke tanah perkuburan Masjid Jamek Sungai Gelugor. Kami ziarah kubur bapa aku dan kubur saudara mara . Sejak kecil lagi bapa akan membawa kami menziarah kubur pada pagi syawal. Ini tradisi keluarga dan aku harap anak-anak aku teruskan nanti. Sampai di kubur, kami siram air cendana dan tabur bunga sambil membaca doa dan fateha. Kemudian seorang lelaki yang berumur datang dan turut berdoa untuk bapa aku. Dia memperkenalkan dirinya sebagai imam masjid kediaman polis Sungai Dua. Terima kasih atas budi baik tuan.
.
Selesai menziarah kubur, aku ke rumah emak. Adik-adik aku sudah ada di rumah emak. Aku terus berjumpa dengan emak dan bermaaf-maafan dan diikuti pula bermaaf-maafan dengan adik-adik dan ipar duai aku. Selepas menikmati jamuan tengah hari, kami meninggalkan rumah emak dan menuju pula ke Tok Wan.
.

Sahir, Sara Zulaikha dan Zuriati
.

Saiidi, Sofia Qistina dan Zuqisti...
.

Keluarga adik aku - Ika, Zurina, Yazid dan Atin...
.

Zulkarnain...
.
Tok Wan dah lama meninggal. Tok meninggal lebih dahulu dari Tok Wan. Pak Ndak dan Mak Teh tinggal di rumah Tok Wan. Pagi Aidilfitri ni, Mak Limah, isteri Pak Ndak buat kenduri. Jamuan nasi tomato, dalca, gulai daging, sayur kobis, jelatah dan entah apa-apa lagi. Masa kami sampai, orang dah ramai. Adik Mak Limah, Dr. Azizah pun ada sama. Apa lagi, kami pun menikmati hidang yang disediakan. Lepas tu, kami pergi jengok Mak Teh pula. Selepas bermaaf-maafan dengan Mak Teh, kami mohon untuk ke Dhoby Ghaut.
.

Bob, suami Mak Teh
.

Isteriku dan anak-anak di rumah Pak Ndak
.

Pak Ndak dan Mak Limah...
.

Dr. Azizah Omar, adik mak Limah
.

Rokiah Puteh, Mak Teh aku.
.
Di Dhoby Ghaut, ada empat keluarga saudara isteriku. Mereka tinggal dalam suatu kawasan. Rumah mereka begitu dekat antara satu sama lain. Mula-mula kami pergi ke rumah Hasan sebab Hasan mahu keluar ziarah keluarga isteri beliau. Aku cukup senang dengan abang ipar ini. Beliau pernah tiga kali datang bertandang ke rumah aku semasa aku tinggal di Trolak dahulu. Dan beliau juga pernah datang bersama isteri beliau selepas beliau berkahwin. Dalam perjalanan berbulan madu. Aku rasa cukup dihormati. Hasan pun tidak keberatan untuk membantu aku jika aku berada dalam kesusahan.
.
Keluarga isteriku tidak ada panggilan untuk menunjuk hiraki abang-kakak atau adik. Maksudku, tidak ada panggilan seperti pak long, kakak ngah, pak lang, mak teh...Panggil ikut nama dengan tambah mak untuk saudara lelaki dan mami untuk saudara perempuan.
.
Selepas di rumah Hassan, kami pergi rumah Yusoff. Beliau baru pulih dari kemalangan. Tujuh hari koma. Kini beliau masih ingat-ingat lupa. Razali anak sulong Yusoff, rajin ziarah rumah aku dengan isteri dan anak-anak dia. Dari rumah Yusoff, kami ke rumah Ismail, biras aku. Yang pelik, untuk Ismail, ahli keluarga isteriku tak pula panggil mak Ismail dan isterinya mami Aminah tetapi mereka panggil Ba untuk Ismail dan Bu untuk Aminah. Anak-anak Ba dan Bu ini, baik dengan aku. Mereka akan bertandang ke rumah aku setiap kali Aidilfitri. 
.
Sudah pukul 4.00 petang 1 Syawal. Aku bertolak ke Kampung Melayu, Ayer Itam. Menantu aku, Saiidi, tidak ikut serta. Dia mohon izin untuk balik ke rumah bersama isteri dan anaknya. Dia pulang untuk solat. Katanya. Kami pergi rumah Pak Man di Kampung Melayu. Pak Man ini istimewa orangnya. Dia pandai mengubat cara tradisional. Malah ada pihak kerajaan dan swasta menggunakan khidmatnya untuk tujuan tertentu. Kak Gayah isteri Pak Man pula pandai memasak. Jadi kami balun ketupak pulut dan rendang yang Kak Gayah masak puas-puas.
.
Dari rumah Pak Man, kami balik ke rumah. Isteriku bagi tau ada tetamu istimewa nak datang. Siapa pula tetamu istimewa? Tak kan sidia nak datang ke rumah aku....
.
Hampir 20 orang tetamu dari beberapa keluarga datang bertandang ke rumah aku. Mereka pernah tinggal di Dhoby Ghaut. Kira dulu mereka ini jiran isteri aku. Kebetulan anak aku belajar dengan salah seorang anak jiran ini. Selepas bertanya, anak jiran kata emak dia kenal emak anak aku.( Isteri aku la...) Jadi untuk mengeratkan tali silatulrahim, mereka  ziarah kami. Kami jamu mereka bihun goreng, ketupat, nasi himpit, kuih raya... dan entah apa-apa lagi. Banyak kenangan lama yang dibangkitkan semasa kami berbual.
.

Mereka pernah tinggal berdekatan rumah keluarga isteri aku...
.

terharu mereka sudi ziarah...
.


Hashim Ismail dan anak-anak...
.
Selepas mereka pulang, anak-anak Ba dan Bu pula datang. Mula-mula Halida dan anak-anaknya datang, kemudian Hashim, isteri dan anak-anak dia pula sampai. Mungkin, masing-masing sudah keletihan. Jadi tidak banyak yang dibualkan. Selepas mereka pulang, kami mengemas rumah dan jam pula menunjuk pukul 10.30 malam...
.
Aku terlalu letih. Aku akhiri sambutan Aidilfitri sekitar 11.00 malam dengan terus masuk tidur. Nanti 4.30 pagi bangun sahur. Nak puasa enam pula...

Jumaat, September 18, 2009

KENANGAN AIDILFITRI

Aidilfitri...
.
Entahlah, perasaan aku bercampur baur untuk menyambut Aidilfitri. Gembira dan sedih.
.
Gembira kerana aku sudah hampir berjaya menyempurna ibadah puasa! Sehari pun tak tinggal. Kualiti puasa, tak tahu. Kadang-kadang termengata dan terkutuk juga. Kadang-kadang termenipu juga. Tahun ini juga aku tak tinggal langsung solat sunat teraweh. Ini KPI aku! KPI seterusnya, puasa enam pula.
.

Mungkin perasaan sedih tu lebih dari perasaan gembira. Aku tak tau kenapa aku ini emosional sangat bila hari raya ni. Mungkin pengalaman silam membuat aku sedih dan suram ketika menyambut Aidilfitri.
.

Seingat aku, aku menyambut Aidilfitri ialah ketika aku berumur 2 tahun. Ketika itu keluarga aku menetap di Jelutong. Bapa bina rumah di sebelah rumah tok saudara aku, Tok Bi. Anak-anak Tok Bi, Mak tam Maliah, Pah, Kiah dan Mat Hassan rajin mengasuh aku. Mereka bawa aku beraya. Mereka bagi tahu emak, aku tak mahu terima duit raya yang orang bagi sebab aku dah ada duit yang emak aku bagi. Jadi duit raya aku itu mereka ambil dan serah pada emak. 
.

Bapa jual rumah di Jelutong dan berpindah untuk tinggal dengan Tok Wan di Gelugor.  Rumah Tok Wan terletak di seberang sungai Gelugor (sekarang ini kawasan Minden Height) . Semasa raya, kami beraya di rumah jiran-jiran. Tok Wan tak bagi kami pergi beraya di kampong seberang sebab kena lintas jalan besar (Jalan Helen Brown).

Semasa umur tiga tahun, kami tidak pergi ke mana-mana untuk berhari raya. Duduk di rumah. Bapa janji nak bawa kami beraya di Seberang nanti. Nak pergi rumah Tok Lang Hawa Bi. Sambil tu, aku dan adik aku Man, main gelongsor. Aku dan Man susun kayu-kayu yang kami jumpa. Entah macam mana, terkoyak baju aku sebab tersangkut pada paku. Emak membebel sekejap.

Pada hari raya, kami suka pergi beraya ke rumah pak Tambi. Mak Jam, Isteri pak Tambi bagi 20 sen. Cukup hebat. 20 sen masa itu cukup besar.Rumah pak Tambi cukup cantik dengan halaman rumah yang luas dengan hiasi pokok-pokok bunga yang diatur sekeliling rumah. Aku masih ingat pak Tambi pasang radio dengan kuat. Lagu yang dimainkan pada ketika itu  ialah lagu "Kopi Susu". 

Masa itulah kali pertama aku ternampak lampu kelip-kelap yang dipasang di rumah Pak Manan. Rumah Tok Wan pun ada lampu kelip-kelap. Mentolnya bentuk Santa Claus, Snow White, Prince Charming dan Dwarf. Tapi lampu kelip kelap tu rosak.


Lepas itu, kami pindah ke rumah sendiri. Rumah kami betul-betul di tepi pantai. Masa tu, kalau raya, aku hanya pergi rumah Tok Wan, Pak Su Hassan, guru yang mengajar mengaji quran dan rumah jiran.  Kadang mak suruh hantar kuih rumah jiran. Dapatlah duit raya jiran bagi. Aku suka hantar kuih ke kedai Achi. Achi tidak buat kuih raya, jadi dia bagi mercun sebagai ganti dan duit seringgit kepada aku. Pecah kepala dapat duit seringgit.
.
Ada sekali tu, semasa ke rumah jiran, aku singgah kedai runcit Maknya Bendi. Masa itu hanya ada suami Maknya Bendi dan sorang lelaki Melayu dari Batu Uban. Badannya kurus dan berkulit gelap. Mungkin selalu berjemur di tengah panas. Mukanya cengkung. Rambut Kerinting halus. Sekali pandang seperti orang Afrika. Dia datang dengan mengayuh basikal trak. Di belakang basikalnya ada sebuah bakul rotan yang besar diikat kukuh atas pelantar basikal. Dalam bakul itu, ada dua orang budak perempuan. Mungkin anak orang itu. Aku masih ingat butir-butir perbualan orang itu kepada suami Maknya Bendi.
.
"Raya ni, budak-budaklah yang seronok" Orang itu meluahkan perasaannya. Kemudian dia menyambung perbualan. "Itu pun kalau ada duit. Kalau tak ada duit, awak tengok sajalah orang beraya...".
.
Walaupun ketika itu aku baru berumur sembilan tahun, aku tertarik kepada hujah lelaki ini.
.
"Macam aku ini, orang susah, bagi anak-anak apa yang termampu..."
.
Sejak itu, aku mula terfikir, masyarakat kita terbahagi kepada yang mampu dan yang tidak mampu. Mampu dan tidak mampu ini berasaskan kewangan kita. Oleh itu, kita kena ada banyak wang! Kalau tidak ada banyak wang, kita sekadar menjadi penonton.
.
Apabila aku di darjah empat, bapa dan emak pergi beli baju raya untuk aku. Baju itu dibeli di Bazar Jual Murah. Sampai rumah diberi saja baju itu pada aku. Tidak ada pilihan untuk menentukan fesyen, corak dan warna. Apa yang dibeli itulah yang terpaksa aku terima. Aku dapat dua helai baju dan dua helai seluar. Entah di mana silapnya, baju raya yang pakai asyik koyak. Kainnya reput. Baju itu pula aku pakai semasa pergi rumah tok di Jelutong. Masa petang, balik rumah, aku jadi macam Hulk. Serabai baju koyak sana sini.
.
Semasa di darjah lima, bapa beli baju putih dan seluar biru untuk dijadikan baju raya. Bapa kata jimat. Esok buka sekolah dah ada baju sekolah. Dua dalam satu.

Semasa di tingkatan satu, aku masuk belajar di Penang Free School. Aku dah malu pakai seluar pendek. Tapi bapa dan emak aku pergi beli seluar pendek dan baju petak-petak untuk aku.  Suka tak suka, aku pakailah seluar pendek untuk beraya. Pergi bandar pun pakai seluar pendek.
.
Naik tingkatan dua, bapa ada duit lebih. Bapa bagi duit RM15.00. Aku beli seluar jeans yang poket banyak. Seluar murah. Tiga empat kali basuh, jadi sendat. Cukup ranggi masa itu. Baju pula warna biru muda. Emak aku jahit. Sepasang saja. Tapi cukuplah. Tiga hari pakai baju tu. Masa tu raya tak pi mana-mana. Hanya pi rumah Tok Wan, Tok Bi dan Tok Jah. Pergi pun seorang seorang. Pi pula kayuh basikal. Anak remaja...!
 .
Tingkatan tiga merupakan saat yang cukup indah. Seluar aku tempah di kedai. Kasut beli kasut Bata yang boleh pakai pergi sekolah. Dua dalam satu. Baju, aku ambil baju adik aku. Cukuplah. Pergi manapun, pakai baju dan seluar itulah. Macam uniform kerja pula.
.
Bila naik tingakatan lima, bapa tak cukup duit. Bapa kena utamakan adik-adik. Bapa bagi RM10.00 suruh aku beli baju raya. Lawak betul. Mana nak dapat baju raya RM10.00. Puas cari dari satu kedai ke satu kedai. Akhir sekali jumpa Cina jual baju longgok tepi jalan. Kata Cina itu taukeh dia lari. Jadi dia jual baju itu murah-murah. Dapatlah baju raya berharga RM10.00.
.
Entah dari mana, bapa dapat kain seluar. Dia bagi aku dan suruh buat seluar. Warna kain pula warna pink. Ala...lawak lawak. Tak kan aku nak pakai seluar warna pink. Yang sakit hati, Cina tukang jahit itu buat seluar terlalu ketat. Bapa bising pada aku. Aku kata bukan salah aku. Tapi salah tukang jahit. Sejak itu, aku tak minat upah jahit seluar. Aku suka beli yang sudah jahit siap.
.
Masa itu, aku teringin sangat kasut clog. Phew... masa itu ramai yang pakai kasut clog ni. Bentuknya macam feri Pulau Langkawi, tutup depan saja. Belakang terbuka. Ala... macam kasut kayu orang Belanda. Bapa tak mahu beli. Dia tak berkenaan kasut macam tu. Aku sedih juga. Nanti kawan-kawan kata, aku ni tak ada taste. Nak buat buat macam mana. Apa yang bapa aku beli, itulah yang aku dapat. Akhirnya bapa beli kasut Bata bentuk macam kasut clog juga. 
.
Aku bersyukur kerana walau pun aku dari keluarga yang susah, namun bapa telah bersusah payah menyediakan kelengkapan untuk hari raya. Bila aku fikir-fikir, ada orang yang lebih susah dari aku. Kawan aku terpaksa mengambil upah panjat pokok kelapa untuk membeli pakaian raya. Ketika kawan-kawan yang lain bergembira semasa hari raya, beliau terpaksa turun ke laut untuk menangkap ikan bagi menyara kehidupan harian. Aku dapat tahu, beliau kini bertugas sebagai anggota polis berpangkat korporal di Bukit Kayu Hitam.
.
Inilah nasib kita. Mungkin semasa kecil, kita susah. Tapi mungkin nasib kita akan berubah bila kita meningkat dewasa. Aku biasa melihat, anak-anak orang beradaya di kampung. hidup mewah. Pakaian raya, phew..., berpasang-pasang. Fesyen terkini. Tapi hari ini nasib mereka berubah. Mereka pula menjadi penonton melihat hidup kita. Hidup ini ibarat roda...
.
Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin untuk semua... 
 

Isnin, September 14, 2009

KEAJAIBAN RAMADAN

Aku diluluskan cuti tanpa gaji selama empat tahun untuk mengikuti pengajian ijazah sarjana muda sains kemasyarakatan di Universiti Sains Malaysia. Itu sudah memadai daripada aku tidak dapat cuti langsung. Empat tahun bukanlah masa yang singkat untuk hidup tanpa gaji dengan anak seramai lima orang. 
.
Tahun pertama aku tinggal di rumah bapa aku. Masuk tahun kedua, aku tinggal di blok H29, blok khas untuk pelajar berkeluarga di Desasiswa Cahaya. Penggawa masa itu itu ialah Encik Kamarudin Md. Nor dan penolong penggawanya Dr. Omar Osman (sekarang TNC HEPP), Encik Nazru Ismail dan Puan Sharifah Mastura. Aku ingin rakamkan bahawa Dr. Osman Osman banyak membantu kami pelajar yang berkeluarga.
.
Antara kenangan yang tidak mungkin aku lupa ketika aku tinggal di blok H29 ialah semasa Ramadan. Masa itu aku berada di tahun tiga pengajianku. Keadaan hidup kami sekeluarga memang susah. Semuanya kena pekin. Kais pagi makan pagi kais petang belum tentu dapat makan. 
.
Bagi membiayai keperluan harian, isteriku mengasuh anak Puan Zarina Md. Yassan, guru di Pusat Pengajian Sains Kajihayat. Pada sebelah malam, isteriku berniaga nasi goreng, cucur udang dan bubur kacang di kafe Desasiswa Cahaya. Tapi bulan puasa, isteriku tak berniaga. Harap duit upah mengasuh anak Puan Zarina sahaja. Kadang-kadang suami Puan Zarina, Tuan Hashim Ali ada juga bagi beras dan lauk pauk. Mereka berdua bagai saudara aku. Cukup akrab. Sentiasa membantu kami sekeluarga. Aku tidak mungkin lupa jasa baik mereka berdua.
.
Entah puasa keberapa. Jam hampir 5.00 petang. Isteriku masuk ke dalam bilik ketika aku sibuk menyiapkan tugasan. Dengan nada yang lembut dia menegur aku.
.
"Abang... dah nak masuk waktu berbuka puasa..."Dia berdiri belakang. Aku masih mengadap buku dan nota kuliah.
.
" Masaklah nasi." Aku membalas.
.
" Beras dah habis..." Dia terdiam sejenak
.
" Takkan tak ada apa untuk dimakan...?"
.
"Mempelam adala.." Jawab isteriku. Baru aku teringat. Bapa aku ada bagi buah mempelam yang dipetik dari pokok yang dia tanam di tepi rumah. 
.
" Kupas mempelam itu, bagi anak-anak buat buka puasa..." Aku beri cadangan.
.
"Nanti anak-anak sakit perut makan mempelam buat buka puasa ". Isteriku membantah. 
.
Terbayang muka anak-anak. Seorang, seorang. Tapi paling kasihan Zulfadli. Kurus sangat. Tanpa mahu berhujah panjang, aku bergegas ke Pusat Islam. Pusat Islam ada menyediakan jamuan berbuka puasa untuk warga kampus. Sampai di Pusat Islam aku terus ke bahagian dapur. Beberapa orang aku lihat sedang membungkus nasi dan lauk pauk. Othman Rashid kawanku yang bekerja di Pusat Penyelidikan Dasar ada situ.
.
"Man, ada nasi dan lauk lebih..." Aku bersuara tersekat-sekat menahan malu.
.
"Nasi semua dah kami agih-agihkan.." Osman bersuara sambil terus membungkus nasi yang ada. " yang ni semua untuk staf yang dah tempah awal-awal.".
.
Bercelaru fikiran aku. Buntu. Di mana nak cari makanan untuk anak-anak aku berbuka puasa sekejap lagi.
.
Mungkin Othman faham apa yang bermain di fikiran aku. " Hang pi minta dari ustaz, kami dah serah nasi dan lauk yang lebih pada ustaz..."
.
Aku malu nak mengadap ustaz. Jadi, aku hidupkan injin motosikal Honda Kapcai aku dan terus ke rumah bapa aku. Bapa aku tidak ada di rumah bila aku sampai. Aku pergi cari emak aku yang sibuk memasak untuk berbuka.
.
"Emak, minta beras sikit..." Aku berjumpa dengan emak. " Beras di rumah habis.."
.
Emak aku mengambil berapa cupak beras dan dimasukkan ke dalam kampit plastik.
.
" Cukup...? Emak bertanya.
.
"Cukup emak." Aku mahu segera pulang supaya isteriku sempat masak nasi untuk anak-anaku.
.
"Nah ambil ikan ini..." Aku aku memberi beberapa ekor ikan yang diambil dari peti sejuk.
.
Selepas mencapai ikan  tersebut, aku segera pulang. Sampai di blok desasiswa, aku pun beri beras dan ikan kepada isteriku.
.
"Masak..." Aku mengeluarkan arahan ringkas dan padat kepada isteriku. Tanpa banyak bersuara dia terus ke dapur dan memasak apa yang ada.

Zulfadli menyedari aku berada di rumah datang menemui aku. " Ayah, Ali lapar..."

Aku memandang tepat muka Zulfadli. Sayu melihat wajahnya. "Sabar... mak dok masak nasi tu. Nanti kita buka puasa sama-sama."
.
Selepas berbuka puasa dengan buah mempelam, kopi o, nasi dan ikan goreng masak sambal tumis, aku terus mengerjakan solat maghrib. Selepas selesai solat, aku zikir banyak-banyak nama tuhan. Ustazku berpesan, kalau sesak sangat, zikir sebanyak mungkin "Ya Razak...". Aku khusyuk berzikir dan memanjatkan doa supaya tidak diputuskan rezeki pada bulan Ramadan ini. Apatah lagi syawal akan menjelang. Di mana nak cari duit untuk beli baju-baju raya anak-anak. Isteriku cadang beli seluar katok dan t shirt di pasar Taman Tun Sardon sahaja untuk anak-anak. 
.
Pintu rumahku diketok orang. Anakku berluru membuka pintu. Rupanya anak perempuan Aman Daud. Aman Daud adalah pelajar tahun akhir ijazah sarjana muda seni halus. Dia tinggal di unit dihadapan unit aku. Anak perempuan dia  berdiri di muka pintu dengan tangan memegang pinggan yang berisi dengan mee.
.
" Abah dan emak bagi mee..." Anak Aman Daud tersenyum melihat anak-anak aku berkerumum keliling beliau.
.
Zuyanti anak aku yang sulong mengambil pinggan mee dan diserahkan kepada isteriku yang sedang mengemas di dapur. Dapatlah kami sekeluarga merasai mee yang dimasak oleh Aman Daud. Aman Daud memang handal dalam masak memasak ni. Selepas itu anak perempuan Aman Daud beredar. 

Zurina, adik aku pula datang. Sambil mendukong anak lelakinya, Iwan, dia masuk ke dalam rumahku tanpa dipelawa. Aku bangun dan menyambut kedatangannya.
.
" Hang ada duit tak...? Zurina bertanya sambil membuka zip beg tangannya.
.
"Tak dak..." Jawab aku.
.
"Nah, ambil lima puluh ringgit.." Zurina menghulur wang kertas lima puluh ringgit.
.
Aku capai duit itu. Zurina bergegas pulang sebab Yazid, suaminya hendak ke masjid mengerjakan solat teraweh.
.
Aku rasa cukup gembira sekali. Tak perlu fikir untuk mendapat beras dan lauk untuk beberapa hari ini. Lima puluh ringgit terlalu besar untuk aku pada ketika itu. Bolehlah beli beras, ikan bilis dan kobis untuk dimasak. Memang menu rasmi semasa itu, nasi, sambal tumis ikan bilis dan sayur kobis.
.
Selang tiga hari kemudian, Mohd Adnan, adik aku datang ke rumah. Dari jauh dia tersengeh. Aku keluar menyambut dia.
.
"Ampa dah beli baju raya..." Dia bertanya sebaik sahaja dia nampak aku. Anak-anak aku terjengok-jengok melalui muka pintu. 
.
"Baju lama depa dok elok lagi" Aku tidak menjawab soalannya. Sebaliknya memberi alasan kenapa aku tidak beli baju baru. Sebenarnya aku tidak ada duit untuk beli baju baru anak-anak raya tahun itu.
.
"Nah ambil duit ini buat beli baju anak-anak hang..." Mohd Adnan mengeluarkan empat rarus lima puluh ringgit dari dompetnya dan dihulurkan kepada aku.
.
"Terima kasih, Nan..." Aku tidak tahu apa yang perlu diucapkan lagi. Aku jadi sebak bila mengingatkan adik-adik aku membanyak membantu waktu itu.
.
Bapa aku gembira membantu aku ketika aku melanjutkan pengajianku. Malah sesiapa saja yang memohon bantuan untuk mengikuti pengajian, dia pasti membantu. Kadang-kadang ada pelajar USM yang membaiki motor di bengkel bapa aku tetapi dia tidak mengenakan bayaran bila dia tahu mereka tak ada duit Bapa aku percaya, orang sedang mengikuti pengajian adalah  seperti orang yang berperang, berjihad di jalan Allah. Membantu orang yang sedang mengikuti pengajian samalah seperti membantu orang yang berjihad di jalan Allah. 
.
Mohd Adnan meninggalkan aku yang masih terdiri terkejut dengan jumlah duit yang dia berikan kepada aku. Aku masuk ke dalam rumah. Hati aku berbisik, inilah keajaiban Ramadan...!

Sabtu, September 12, 2009

KEJADIAN ANEH DI PANTAI KERACHUT

Entah kenapa, aku suka berkhemah di pantai Kerachut. Mungkin kerana pantainya yang cantik dan bersih. Atau suasana kehijauan hutan yang membuat aku tenteram di situ.
.


.
Kejadian ini berlaku ketika aku terlibat dengan kursus kepimpinan pelajar di pantai Kerachut. Semasa program ini dijalankan, para pelajar bertolak dengan bas pada jam 5.30 petang. Mengikut perkiraan masa, bas yang membawa para pelajar akan sampai di Teluk Bahang sekitar 6.30 petang. Mereka akan bertolak dari Teluk Bahang ke Pantai Kerachut sebaik sampai.
.
Selepas waktu pejabat pada jam 5.10 petang aku bergegas pulang dan siapkan keperluan untuk menyertai kumpulan pelajar ini. Jam 6.30 petang aku mula memandu ke Teluk Bahang.  Puas memujuk, merayu dan memaksa, isteriku bersetuju mengikut menemani aku ke pantai Kerachut.


.
Kami sampai di Teluk Bahang jam 8.30 malam. Lambat sampai sebab kami singgah beli bekalan makanan. Honda CRV kesayangan ku, aku letak di hadapan Kompleks Persatuan Nelayan Telok Bahang. Aku dan isteriku mula mengatur langkah ke pantai Kerachut. Malam gelap pekat. Mungkin akan hujan.
.
Perjalanan kami sangat perlahan kerana isteriku terpaksa berhenti banyak kali untuk menghilang kepenatan. Aku mula gusar sebab isteri terlalu lambat sedangkan aku harus sampai dengan secepat mungkin. Aku kasihan melihat isteri yang kadang kala terpaksa merangkak naik bukit. Kadang kala dia tersebam tersadong akar pokok. Bukan mudah berjalan meredah hutan pada malam hari yang gelap pekat dengan berpandukan cahaya lampu suloh dengan dua bateri saiz sederhana.
.
"Kalau you nak jalan cepat-cepat, you tinggal sahaja I di sini..." Isteri melepas kekecewaan di tengah-tengah hutan.
.
Selepas dua kali menukar bateri, lampu suloh padam. Waktu itu kami telah menuruni anak bukit dan sampai di sebuah jambatan kecil dan terdapat sebuah wakaf di situ.  Kawasan tanah di situ agak lembut. Aku pasti kami sudah hampir ke pantai Kerachut. Jam Casio Mudman menunjuk 11.30 malam. Sepatutnya kami sudah sampai kekawasan perkhemahan. Isteriku tersandar keletihan di banir pokok. Mukanya merah dan dihiasi bintik-bintik peluh. Nampak lebih cantik pula isteri aku bila dalam keadaan begitu.
.
"Lain kali, I tak mau mai dah." Isteriku mengeluh.
.
"Oklah.." Aku membalas cakapnya. Lain kali, lain cerita. Lain kali aku akan paksa dia ikut aku lagi. Aku akan atur strategi supaya dia ikut aku lagi.
.
Aku berjalan ke hadapan mencari laluan ke pantai Kerachut. Aku nampak bekas tapak kaki manusia tetapi jejak itu seperti menghala masuk ke celah-celah rimbunan pokok-pokok. Mustahil jejak mereka boleh hilang di hadapan rimbunan pokok-pokok besar itu. Rimbunan pokok-pokok itu tebal pula. Pokok-pokok di hadapan aku bagai menjadi tembok menghalang perjalanan aku. Aku pasti tapak kaki tersebut adalah tapak kaki pelajar-pelajar yang menyertai program kepimpinan pelajar.
.
Aku mula tidak sedap hati dan berasa seram.
.
"Ceh... kau nak usik aku ya...!. Tiba-tiba bisik hatiku. Aku rasa ada sesuatu yang tidak kena. Jenuh aku mencari jalan tetapi tidak jumpa. Mustahil rimbunan pokok-pokok itu boleh tumbuh di tengah-tengah laluan. Sudah beberapa kali aku lalui kawasan itu tetapi tak perasaan pun ada rimbunan pokok di tengah laluan.
.

.
Aku teringat petua beberapa orang yang mahir bab masuk hutan. Kata mereka, jangan bergerak kalau sudah hampir pukul 12.00. Tak kira tengah hari atau malam. Aku berpatah balik ke isteri aku yang masih terbaring melepas lelah.
.
"Kita tidur di sini." Bagai seorang platun komander aku bersuara. " Buka ponco dan buat lapik tidur".
.
Aku kembali ke tempat laluan tadi. Sampai di hadapan rimbunan pokok-pokok itu, aku merangkak perlahan-lahan masuk celah rimbunan pokok-pokok itu. Ini petua yang pak Brahim bagi pada aku. Dia kata kalau sesat dan tak jumpa jalan keluar cuba merangkak. Alhamdulillah, di sebalik rimbunan pokok tadi aku nampak cahaya lampu suloh. Aku terus ke arah cahaya lampu suloh tadi. Ada sekumpulan remaja yang sedang menangkap udang di situ.
.
Selepas memberi salam aku bertanya kalau mereka mahu ke pantai Kerachut. Mereka agak terkejut melihat aku. Selepas puas merenung aku, mereka memaklumkan memang mereka berkhemah di pantai Kerachut dan aku boleh ikut mereka selepas mereka berkemas.
.
Aku kembali menjemput isteri aku. Selepas menyorok beg galas dan khemah di celah banir pokok, aku dan isteriku kembali menyertai kumpulan remaja tadi. Mereka membawa kami ke pantai Kerachut.  Jam 1.00 pagi, kami sampai ke tapak perkhemahan pantai Kerachut. Para pelajar yang khuatir menanti kami gembira melihat kami sampai dengan selamat.
.
Pada keesokan pagi, aku pergi mengambil beg galas dan khemah yang kami sorok semalam. Dan pokok-pokok besar di tengah jalan tidak ada pula...!

Khamis, September 10, 2009

YAAKOB BIN PUTEH

Emak dan bapa

bapa
.
emak

Tanggal 29 Ogos 2008, jam 4.20 petang, bapa aku meninggal dunia.
.
Bapa dilahirkan Kampung Air Tawar, Setiawan, Perak. Bapa merupakan anak kedua kepada pasangan Puteh bin Md. Kafi dan Sabariah bt. Md. Ros. Tok Wan aku, dikenali sebagai Cikgu Puteh.
.
Bapa bersekolah setakat darjah empat. Beliau tidak dapat meneruskan persekolahan kerana peperangan dunia kedua meletus. Ketika itu bapa menetap di rumah guru, Telok Bahang, Pulau Pinang. Bangunan rumah guru itu berhampiran bulatan Telok Bahang - Balik Pulau. 
.
Bapa suka bercerita kepada aku dalam usia yang muda beliau menyeludup ikan mahal untuk dijual di pasar di Georgetown semasa perang dunia kedua. Ikan tersebut akan disorok di bawah guni yang di atasnya diletak bakul besar muat dengan ikan biasa. Tentera Jepun tidak mengesyaki apa-apa. Tujuan bapa menceritakan hal ini ialah untuk memberitahu dalam usia yang muda, bapa sudah terpaksa bekerja untuk menyara kehidupan beliau.
.
Bapa juga pernah bercerita bagaimana beliau dan kawannya berjumpa dengan lembaga agam di pantai Kerachut. Ketika itu hampir maghrib dan hujan turun renyai-renyai. Bapa dan kawannya berteduh di pantai Kerachut sementara hujan berhenti. Bapa menghidupkan unggun api untuk menghilangkan kesejukan. Tiba-tiba muncul “Belian”, sejenis makhluk seperti gergasi. Lembaga itu menghampiri bapa dan kawannya. Apabila lembaga itu sudah dekat menghampiri mereka, bapa berbisik meminta kawannya untuk bergerak perlahan-lahan menunggu di perahu di tepi pantai. Apabila lembaga itu benar-benar sudah dekat, bapa mengambil puntong bara api dan membaling ke arah muka lembaga itu. Kemudian bapa, berlari sekuat hati ke arah kawannya yang sedang menunggu di dalam perahu. Mereka terus berkayuh meninggal pantai hingga mereka sampai ke Telok Bahang.


bapa ketika mengikut aku ke Kelantan semasa perkahwinan Zuqisti...
.
Selepas perang tamat, keluarga bapa berpindah ke Jelutong. Masa itu, bapa aku bekerja sebagai kelasi kapal. Dalam usia belasan tahun, bapa berkesempatan belayar ke Indonesia dan Burma.
.
Kemudian bapa berkhidmat sebagai tentera dalam Royal Army Service Corps (RASC) British Army di Singapura. (Anak-anak aku mengusik dengan mengatakan bapa aku tentera penjajah) Selepas tamat latihan rekrut tentera di Nisun, bapa ditugaskan aku mengendali “marine craft” dan “landing craft” untuk menghantar tentera British melaksana operasi ketenteraan terutama melalui sungai-sungai di Johor dan Pahang. Beliau pernah bertembung dengan gerombolan komunis selepas mendaratkan tentera British di Kukup, Johor. Selepas berbalas tembakan, bapa dapat berundur ke tengah laut Johor. Lain-lain tugas ialah menyelamat mangsa banjir di sekitar Muar dan Kota Tinggi.
.
Bapa berkahwin dengan emak, Siti binti Akob pada tahun 1954. Siti binti Akob adalah anak kepada Akob dan Fatimah. Tok Akob adalah orang Bugis Melaka sementara Tok Timah adalah keturunan Sikh. Perkahwinan bapa dengan emak adalah atas pilihan Tok Wan. Tok kurang bersetuju bersetuju dengan pilihan Tok Wan. Tok aku mau bapa kahwin dengan sepupu bapa. Tapi Tok Wan keras dengan pilihan beliau. Gambar persandingan bapa dan emak keluar pada surat khabar jawi pada masa itu.
.
Selepas berkahwin, bapa membawa emak ke Singapura. Bapa membawa emak balik ke Pulau Pinang ketika emak hendak melahirkan aku. Selepas pantang, emak dan aku dibawa oleh bapa ke Singapura semula. Bapa menyewa rumah di Pulau Berani. Dari Pulau Berani, kami berpindah ke Clementi Estate, kawasan kediaman tentera British.
.
Apabila ancaman komunis kian meningkat, bapa diperintah bertugas di Sarawak. Bapa enggan berpindah dan memohon untuk menamatkan perkhidmatan beliau dengan tentera British. Selepas tamat perkhidmatan, bapa balik ke Jelutong dan bekerja sebagai nelayan. Selang tidak berapa lama, bapa menerima tawaran untuk berkhidmat dengan Royal Australian Air Force (RAAF) sebagai “Marine Fitter” mengendalikan “landing craft” tentera udara diraja Australia. Antara tugas bapa memastikan keselamatan orang awam tidak mencerobohi kawasan latihan menembak jet pejuang tentera udara diraja Australia di sekitar Pulau Bidan. Bapa aku ditamatkan perkhidmatan apabila perkhidmatan tentera Australia di Malaysia ditamatkan. Bapa pernah berjanji untuk membawa aku melawati Pulau Bidan. Tetapi hingga akhir hayat, beliau tidak membawa aku ke Pulau Bidan.
.
Dengan simpanan dan duit graduati yang didapati, bapa membuka sebuah bengkel membaiki motosikal. Perniagaan bapa terus berkembang apabila beliau turut membuka sekolah memandu dan kerja kontrak kelas F. Perniagaan ini telah memberi pendapatan yang agak lumayan kepada keluarga aku. Majoriti pelanggan bengkel motor dan sekolah memandu bapa adalah pelajar-pelajar Universiti Sains Malaysia. Bapa cukup dikenali di kalangan pelajar USM ketika Universiti ini baru ditubuhkan.
.
Bapa terus menjalan perniagaan beliau hingga saat-saat akhir beliau menghembus nafas terakhir.
.
Bapa seorang yang tegas, peramah tetapi cepat panas baran. Bapa cukup tegas dengan aku. Dia melayan aku sebagai seorang anggota tentera. Bapa pernah memukul aku dengan kayu api hingga patah kayu api itu. Nasib baik Tok tolong leraikan. Masa itu, aku baru berumur 5 tahun. Aku sendiri tidak tahu apa kesalahan hingga bapa pukul aku begitu sekali. Semasa aku berada di darjah satu, bapa juga pernah memukul aku dengan paip getah hingga aku terkencing sebab aku tidak menyiap kerja sekolah.  Malah selepas sekolah juga bapa pernah membelasah aku bagai tawanan perang. Mungkin johan kena pukul dengan bapa ialah aku dan adik aku Zubir. Zubir telah meninggal dunia lebih awal dari bapa.


Bapa juga sering memberitahu kawan-kawannya bahawa aku sebenarnya adalah anak angkatnya. Dia jumpa aku dalam hutan ketika menjerat burung. Kadang-kadang gurauannya ini membuat aku terfikir, apakah aku ini memang anak pungut? Entahlah... walau apa pun, bapa selalu sebut dia bangga dengan aku. Aku anak yang tidak membantah cakapnya.
.
Beberapa bulan sebelum bapa meninggal, dia tidak boleh tidur. Kami adik beradik bergilir-gilir melayan bapa sehingga dia tertidur. Aku pernah membawa bapa aku ke Gurney Drive untuk menikmati suasana malam. Kami berada di situ dari pukul 11 malam hingga pukul 5 pagi. Hampir subuh baru aku bawa bapa pulang.
.
Bapa sempat berpesan, ada beberapa orang yang berhutang dengannya. Tetapi dia tidak mahu aku atau adik-adik yang lain menuntut hutang tersebut. Kalau mereka bayar, ambil. Berikan kepada emak aku. Jika tidak halalkan. 
.
Apa yang aku banggakan, aku dan adik-adik saling menjaga bapa ketika dia sakit. Kami mandi dan basuh najis beliau. Bagaimana bapa membelai kami, begitulah kami membelai bapa.

9 pagi, 28 Ogos 2008. Nan, adik aku telefon memaklumkan bapa bertambah tenat. Aku tidak jadi ke pejabat. Risau juga sebab lusa hari Sabtu ada konvokesyen khas. Aku pula bertugas sebagai prompter. Aku pergi ke rumah bapa. Aku jumpa bapa dan picit-picit kaki tangan bapa. Jiran-jiran ada yang berkumpul membaca Yassin. Selepas sejam bapa nampak pulih sedikit. Aku, dan Nan ada bersama bapa. Tiba-tiba aku tanya bapa, bapa nak pergi bersiar-siar. Bapa setuju untuk ikut aku. Jadi aku, bapa, emak dan Nan bawa bapa ke Tesco Jelutong. Kebetulan emak hendak beli roti kegemaran bapa di Tesco.

Semasa di Tesco, Nan terjumpa dengan doktor yang merawat bapa. Dia bertanya tentang bapa. Nan jawab kata bapa ada dalam kereta di bawah. Doktor tersentak bagai tidak percaya bapa mampu untuk bersiar-siar dengan kami. Dari Tesco aku bawa bapa ke Ivory Height. Kami singgah di restoran Khaleel untuk beli bapa teh ais. Sambil menyedut teh aku memandu mengikut jalan Komplek Desasiswa Restu, Saujana dan Tekun. Aku tanya bapa kalau-kalau dia hendak singgah rumah aku di Desasiswa Tekun. Dia jawab dia tidak larat untuk naik tangga rumah aku. Jadi aku terus hantar bapa balik.     
.
29 Ogos 2009. Seleps solat Jumaat, aku dan Dr. Affendi pergi ziarah bapa di rumah. Bapa dah tidak boleh bercakap dan bergerak. Selepas menghantar Dr.Affendi balik, aku ke Bank Simpanan Nasional untuk mengeluarkan wang. Kalau bapa meninggal hujung minggu nanti, aku sudah ada duit untuk mengurus jenazah bapa. Sebelum berpisah, aku suapkan ubat ke mulut bapa. Bapa berdehem seperti memarahi aku. Airmatanya mengalir membasahi pipi. Aku berbisik kepada beliau bahawa aku nak bapa cepat sembuh. Sebab itu aku suapkan ubat 
.
Aku berada di Bank Simpanan Nasional USM. Jam Casio Mudman di tangan aku menunjuk pukul 4.20 minit. Kerani bank sedang menguruskan pengeluaran wang. Aku terima panggilan telefon dari Nan, adik aku.
.
“ Zol... bapa dah tak dak....”
.
Aku tabah menerima berita itu. Selepas menerima wang, aku terus bergegas pulang. Sampai di rumah, aku lihat mayat bapa telah diletak dengan sempurna di atas katil. Jiran dan orang kampung sudah ramai berkumpul di rumah. Aku tenang menatapi jenazah bapa.
.
Kemudian, aku terus ke pejabat Bahagian Pengurusan Sumber Manusia mencari Encik Nor Hamizi. Beliau sedang bermesyuarat di bilik mesyuarat Jabatan Pendaftar. Aku serah kepada beliau dokumen-dokumen penting untuk konvekesyen khas yang akan diadakan pada keesokan hari. Dan selepas itu, aku terus pulang untuk berada di sisi bapa aku buat kali terakhir.
.
Bapa pernah berpesan kepada aku. “ yang mati tetap mati, yang hidup teruskan perjuangan....”
.
Al fateha buat Yaakob bin Puteh, bapa aku...