Jamil Asmaon anak peneroka Felda Soeharto. Sekali pandang, Jamil mirip orang Cina. Tidak hairanlah ada orang Cina yang bercakap dailek Cina dengan Jamil. Menurut Jamil, mukanya mirip orang Cina mungkin kerana neneknya orang Cina yang berkahwin dengan datuknya orang Jawa.
Aku kenal Jamil sejak 1978 ketika aku bekerja dengan FELDA. Kami sama-sama bekerja di Institut Pembangunan Tanah FELDA (INPUT FELDA) yang terletak di Trolak, Perak. Ketika mula bekerja di INPUT, aku dan kawan-kawan mengupah kak Latipah, isteri Jamil untuk menyedia makanan kami. Kata orang "makan bulan". Kak Latipah memang pandai masak. (Jamil dan Latipah - macam cerita Madu Tiga pula...)
Jamil ketika itu bekerja sebagai pemandu. Aku dan pasukan aku kerap menjelalajah seluruh pelusok tanah air ke rancangan-rancangan FELDA dengan Landrover yang dipandu oleh Jamil. Keistimewaan Jamil, dia mudah ingat jalan keluar masuk rancangan FELDA. Kami senang bekerja dengan Jamil kerana dia amat patuh kepada arahan yang diberi. Jamil tidak banyak karenah.
Kali terakhir aku berjumpa dengan Jamil ialah pada tahun 1981. Jamil meletak jawatan dan menyertai rancangan FELDA sebagai peneroka. Aku terlalu lama tidak berjumpa dengan Jamil. Pada 18 Disember 2009 lalu, aku singgah FELDA Soeharto untuk solat Jumaat. Kemudian, aku dan mengambil kesempatan untuk ziarah Jamil. Syukur, aku dapat berjumpa dengan Jamil.