Selepas kena behentikan kerja, Radzi dan Bedah buka gerai makan. Dah tak kerja, nak cari duit macam mana? Anak ada tiga orang. Mesti nak bagi makan, pakai, perbelanjaan anak-anak pergi sekolah dan bayar sewa rumah. Belum lagi bayar bil letrik dan air lagi. Usahakan gerai makan inilah satu usaha untuk mereka meneruskan kehidupan.
Nama gerai mereka Razidah Hokkien Mee. Terletak di kepala simpang Dafe Court. Belakang stesen minyak Esso, Bukit Jambul. Masuk simpang selepas stesen minyak Esso, terus sampai Dafe Court. Di situlah gerai makan mereka. Pihak penduduk Dafe Court tidak pula membantah mereka buka gerai di situ.
Gerai ni jual mee sup, mee goreng, mee bandung, mee udang dan char mee. Koay teow dan bihun ada dijual. Nasi goreng pun ada juga. Tapi nasi goreng cepat habis. Aku suka makan mee bandung di sini. Masakan Radzi ikut cara Cina. Sebab itulah Radzi namakan gerai beliau Razidah Hokkien Mee.
Radzi bagi tau, sebelum ini dia kerja sebagai tukang masak di sebuah kilang eletronik. Ganjil dan Pelikkan. Selalu orang kerja tukang masak di restoren atau hotel. Ini kerja tukang masak di kilang eletronik. Kilang eletronik ni besar. Pihak pengurusan kilang sediakan makan minum untuk pekerja-pekerjanya. Jadi tugas Radzi dan lain-lain tukang masak ialah menyediakan makan minum untuk rakan-rakan pekerja. Pengalaman yang dikutip semasa bekerja ini membuat dia berani membuka gerai makan ni. Pengalaman yang didapati juga membuat dia pandai masak. Bedah, isteri Radzi yang turut dibehentikan kerja membantu Radzi.
Sedapkah sangatkah makanan di gerai ni? Pergilah rasa... kalau tak sedap, masakan artis-artis dari Kuala Lumpur pun turut singgah makan. Dengar kata ada chef dari Kuala Lumpur pun turun nak rasa masakan Radzi. Pelanggan yang datang terdiri daripada berbagai kaum.
Radzi dan Bedah berniaga di sini tanpa lesen yang sah. Dah jenuh naik turun Komtar cuba dapat lesen tapi mereka dibagi tau lesen dah tidak dikeluarkan. Terlalu ramai penjaja dan gerai makan di Pulau Pinang. Jadi, pengeluaran lesen dibekukan. Lawak betul alasan diberi. Kah...kah...kah... Dah puas pergi merayu pada pemimpin parti dan pemimpin masyarakat untuk membantu bagi mendapatkan lesen. Ramai yang berjanji nak tolong. Tapi sampai hari ini, lesen yang diharapkan masih belum didapati....
Apa jadi kalau berniaga tanpa lesen? Mereka dikenakan saman. Bukan Radzi dan Bedah sahaja yang kena saman, Mamat yang jual burger di simpang Restoren Cina di depan Komplek Bukit Jambul pun kerap kena saman. (Burger dia memang best). Minah yang jual Tom Yam depan dengan gerai Radzidah pun kena saman. Kadang-kadang kerusi meja dan alatan memasak pun dirampas oleh penguat kuasa. Kalau nak alatan tersebut, kena tebus dengan bayar saman. Jadi alatan gerai ni dah kena rampas dua tiga kali.
Dua tiga kali juga peralatan gerai ini kena curi. Maklumlah gerai terbuka macam tu dan peralatan gerai hanya ditutup dengan plastik biru.
Beginilah nasib orang Melayu Pulau Pinang. Tak berniaga, pemimpin suruh berniaga. Keluar dalam surat khabar kenyataan-kenyataan negatif kononnya orang Melayu Pulau Pinang tak mahu berniaga. Tak tahu berniaga. Ketinggalan dengan kawan-kawan dari lain-lain kaum dalam bidang perniagaan. Tapi kalau dah berniaga, macam inilah jadinya. Nak dapat lesen berniaga macam nak pinang Puteri Gunong Ledang. Payah. Payah betul.
Tengok restoren nasi kandar. Berniaga sampai atas jalan. Sampai meja dan kerusi letak atas jalan. Pasang khemah lagi. Ada TV besar lagi. Tak apa pula.
Dekat dengan kepala simpang jalan dekat Wisma Central pun ramai orang berniaga makanan. Penuh dengan kereta tolak jual bermacam-macam makanan. Sampai payah nak lalu di jalan tu. Tak apa pula?
Entahlah...