" Malangnya nasib kami jika dilahirkan oleh seorang ibu yang tidak mempunyai perikemanusiaan... "
Selepas mendengar berita itu, aku pasti ramai yang mengucap cicak. Ramai yang mengetap bibir menahan marah. Ramai yang kecewa dengan kekejaman manusia yang sanggup membunuh bayi tersebut.
Berilah kesempatan pada aku untuk hidup...
KOSMO tanggal 15 Mei 2009 ada melaporkan di Sungai Petani seorang wanita Melayu ditahan polis kerana menyembunyikan kematian bayi yang baru beliau lahirkan dengan membalut mayat bayi tersebut dengan kain dan disembunyikan di bawah katil.
Mayat bayi yang dibuang (Pemilik gambar- mohon izin menggunakan gambar sebagai hiasan )
Entah sudah berapa banyak berita tentang kekejaman terhadap bayi yang baru dilahirkan dibuang begitu sahaja disiarkan. Dan berita-berita ini akan terus terpampang menghiasi hidup kita.
" Seorang perempuan muda datang berjumpa kamu dengan bayi yang baru dilahirkan. Beliau meminta pertolongan. Beliau ingin mendapat tempat tinggal sehingga kesihatan beliau pulih selepas bersalin. Beliau juga ingin mendapat bantuan supaya kamu mengurus bayinya ...? Aku menarik nafas sambil memandang keliling Dewan Persidangan tempat aku bagi ceramah. Aku pandang muka peserta-peserta kursus.
" Apakah, kamu sanggup bantu perempuan muda itu...? Aku menghabiskan pertanyaanku.
Beberapa minit berlalu. Tidak ada respon dari para peserta.
Kita hanya pandai mengutuk, memaki seranah manusia yang kejam ini tetapi kita tak mampu menghulur tangan, membimbing dan membantu mereka. Dalam kebuntuan menyelesai masalah, mereka mudah hilang punca. Antara maruah, dosa dan keperluan untuk meneruskan hidup, aku kira mereka pilih jalan keluar dengan membuang saja bayi berkenaan.
Aku agak kita lebih suka menghukum daripada suka membantu!
Bulan sudah aku ke Hospital Bersalin Pulau Pinang kerana ada urusan di sana. Aku turut bertanya kepada jururawat bertugas tentang jumlah anak luar nikah yang dilahirkan di situ. Aku diberitahu, purata setiap bulan terdapat tiga kes.
Jawapan dari pihak tertentu, ala, ini kes terpencil. Tidak ada apa-apa signifikan pun !
Pokok pangkalnya, maksiat di sekeliling berleluasa. Apakah kita mampu membendung maksiat ini?
Dewasa ini, kita hanya sekadar mampu mengeleng-ngeleng melihat maksiat di hadapan mata kita. Kalau kita dah tidak mampu membenteras masiat yang berleluasa, kita kena lakukan sesuatu untuk membantu mereka yang sudah terlanjur. Kalau tidak, kekejaman membunuh bayi akan terus menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat kita. Malangnya tidak ramai yang ingin membantu mereka ini.
Apa yang aku tahu ada kalangan bukan orang kita yang ada telah beberapa kumpulan sukarela yang tersusun dan sistematik membantu mereka yang terlanjur dengan menawarkan tempat tinggal, makan minum dan rawatan selepas bersalin. Mereka juga mengurus bayi yang baru dilahirkan. Tapi kita....?
Dulu ada kempen sebuah keluarga, seorang graduan. Takut pula nanti jadi sebuah keluarga seorang anak luar nikah. Harga barang kian meningkat, malang pula kos maruah kita kian menurun, merudum dan jatuh mencecah harga sifar. Macam-macam pesta jual murah, karnival potongan harga diadakan yang secara tidak langsung menawarkan maruah bangsa dan agamaku.
Oleh OTHMAN YAHAYAothman.yahaya@kosmo.com.my
SUNGAI PETANI - Misteri bau busuk yang dihidu oleh sebuah keluarga selama dua hari di rumah mereka terjawab dengan penemuan mayat bayi lelaki yang mulai reput di bawah katil anak perempuan mereka di Kampung Kuala Sin, Bukit Selambau di sini malam kelmarin.
Lebih mengejutkan apabila mereka mendapati mayat bayi yang sempurna sifatnya itu dilahirkan oleh anak perempuan kedua mereka yang berusia 27 tahun.
Kejadian itu terbongkar apabila pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda menyerbu rumah berkenaan, petang semalam ekoran laporan Hospital Sik yang meragui penjelasan wanita itu ketika dia mendapatkan rawatan di hospital itu.
Difahamkan, keluarganya tidak perasan anak mereka yang bekerja sebagai operator kilang itu mengandung memandangkan badannya yang agak gempal dan sikapnya yang pendiam.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali, wanita itu melahirkan bayi tersebut seorang diri di dalam biliknya pada 11 Mei lalu. "
Apakah erti masjid yang tersergam indah kalau iman orang Islam semakin terhakis? Yang ramai terlibat dalam kes buang bayi ialah orang yang sama agama dan bangsa dengan aku...