Isnin, Mei 25, 2009

CENDOL ENCIK ABDUL AZIZ!

Encik Abdul Aziz berniaga cendol berhampiran masjid Seberang Jaya

25 Mei 2009. Hari gaji! Tapi awal-awal pagi lagi, aku dah bergegas ke Kampus Kejuruteraan. Kena bagi ceramah.

Slot ceramah aku bermula pada jam 8.30 pagi. Dua jam bercakap tanpa henti. Dua jam dok pot-pet pok pet. Kering tekak. Habis sahaja slot aku, aku berjumpa dengan Encik Roslan Shuaid, pegawai besar di sini. Aku bertanya khabar. Bincang bab kerja. Hampir 11.30 pagi, aku terus pulang.
.
Aku pandu perlahan-lahan sahaja. Sampai Seberang Jaya sekitar 12.15 tengah hari. Aku singgah di astaka berhampiran masjid Seberang Jaya. Tinjau gerai mee rebus Pokok Ceri. Alamak, kedai mi rebus Pokok Ceri tutup pula. Kempunan nak makan mi rebus dan cendol mamak ni. Aku buat keputusan untuk terus balik.

Semasa melalui jalan sisir di hadapan pintu masuk masjid Seberang Jaya, aku ternampak kereta tolak dan terpampang papan tanda tercatat cendol pulut pada kereta tolak tu. Aku perlahankan kereta dan belok hampiri tepi jalan. Tanpa turun dari kereta, aku minta semangkok cendol dari penjual cendol. Harga baru RM1.40. Selepas cendol dihidangkan, apa lagi, aku makan cendol dengan lahap. Selepas semagkok, aku minta semangkok lagi. Cendol mangkok kedua ni pun licin aku makan. Kenyang makan cendol hari ni.

Encik Abdul Aziz menanti palanggan

Encik Kacang... @ Mr Bean

Aku sempat juga berbual dengan Encik Abdul Aziz, peniaga cendol ni. Encik Abdul Aziz gembira berniaga cendol berhampiran pintu masuk masjid Sebarang Jaya ni. Pendapatan dari hasil jualan cendol boleh tahan. Apa yang lebih mengembirakan Encik Abdul Aziz, pihak berkuasa tempatan tidak menganggu beliau berniaga. Pernah penguat kuasa dari pihak berkuasa tempatan datang, tetapi sekadar menjemput beliau ke pejabat mereka. Kecut perut beliau takut-takut disaman atau dilarang berniaga cendol. Sebaliknya apabila sampai di pejabat mereka, Encik Abdul Aziz diajak berbincang supaya menjalankan perniagaan secara berhemah iaitu mengambil lesen yang perlu, menjaga kebersihan dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Alatan berniaga disusn rapi.

Enck Abdul Aziz tidak sangka beliau akan dilayan dengan begitu tertib dan mesra sekali, Bila beliau melangkah keluar dari pejabat pihak berkuasa tempatan berkenaan, beliau bertekad untuk membalas budi baik pegawai-pegawai pihak berkuasa tempatan berkenaan dengan mematuhi peraturan dan saranan mereka.
.
Aku kira, pihak berkuasa tempatan lain patut mencontohi pihak berkuasa tempatan ini. Aku mendapat tahu mutu perkhidmatan pihak berkuasa tempatan ini sangat cemerlang. Tahniah MPSP!
.
Aku cuma doa agar perniagaan Encik Abdul Aziz terus maju. Mari kita pakat ramai-ramai sokong kawan-kawan kita berniaga secara kecil-kecilan begini. Kalau kita tidak bantu dan sokong mereka, siapa lagi nak bantu dan sokong mereka.
.
(Aku nak bawa kawan aku yang tinggal di hadapan masjid Seberang Jaya, makan cendol di sini nanti. )