Rabu, Mei 06, 2009

BAHASA JIWA BANGSA

Aku masih ingat lagi ketika aku mengambil bahagian dalam pertandingan pidato semasa aku di tingkatan satu di Penang Free School. Tajuk pidato yang aku pilih ialah "Bahasa Jiwa Bangsa".

Aku membuat rujukan bagi mendapat sebanyak mungkin bahan untuk isi pidato. Semasa pertandingan, aku telah berpidato dengan sebaiknya. Namun aku tidak mendapat sebarang tempat dalam pertandingan itu. Cukup sekadar mendapat sagu hati. Namun aku rasa cukup bangga dengan percapaian itu. Ini kerana dalam pertandingan itu, aku seorang sahaja pelajar tingkatan satu dan lain-lain peserta adalah pelajar-pelajar tingkatan empat dan pelajar-pelajar tingkatan lima.

Hari ini apabila kita bercakap tentang Bahasa Jiwa Bangsa, aku jadi sebak dan pilu. Beberapa kali Bahasa Melayu ditukar menjadi Bahasa Malaysia dan kemudian ditukar kembali menjadi Bahasa Melayu. Bahasa melambangkan kedaulatan bangsa. Di manakah kedaulatan bahasa bangsaku?

Kini timbul pula isu pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains dalam Bahasa Inggeris. Mungkin pemimpin terdahulu tidak berfikir habis-habisan apabila mereka menukar sekolah aliran Bahasa Inggeris menjadi sekolah aliran Bahasa Melayu. Dahulu sekolah rendah aku dikenali sebagai Gelugor English School. Kini menjadi Sekolah Rendah Bukit Gelugor.
.
Mungkin pemimpin terdahulu juga tidak berwawasan apabila menukar pengajaran dan pembelajaran matematik dan sains dalam Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu.

Pemimpin kita pun kerap memberi ucapan dalam Bahasa Inggeris di majlis-majlis rasmi anjuran pihak korporat. Mungkin dalam majlis-majlis anjuran pihak korporat, pemimpin kita akan kelihatan lekeh kalau berucap dalam Bahasa Melayu.

Antara pemimpin yang aku kagum kerana bertutur dan berucap dalam Bahasa Melayu dengan baik serta menggunakan perkataan-perkataan yang jarang kita dengar dan guna tetapi tepat untuk menjelaskan sesuatu maksud ialah Datuk Seri Utama Rais Yatim. Datuk Seri Anwar Ibrahim juga merupakan tokoh yang bijak bertutur dan berucap dalam Bahasa Melayu. Malah pada setiap kali pembentangan belanjawan negara (bajet ?) Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menggunakan beberapa perkataan yang jarang kita guna dan dengar. Kemudian perkataan akan terus digunakan.

Dewasa ini, pencemaran Bahasa Melayu berlaku secara berleluasa. Mungkin tidak ada orang peduli hal ini. Anak-anak Melayu sudah tidak pandai bertutur Bahasa Melayu dengan betul.
.
"kita orang harap awak dapat membantu dalam hal ini..." Kita orang dan aku ni apa? Jin, lembu...

" Saya beli dekat Tesco..." Awak beli dekat Tesco atau di Tesco?" Dekat dan di pun sudah tidak tahu dibezakan.
.
"I takut giler...!" "Awak sangat takut atau awak takut jadi gila?."
.
Perkataan "member" kerap digunakan untuk merujuk kepada kawan. Apakah perkataan kawan, taulan, kenalan dan sahabat tidak sesuai?.
.
Lebih malang juruhebah radio pun turut meningkat lagi pencemaran Bahasa Melayu. Mereka lanyak Bahasa Melayu sewenang-wenangnya. Cuba dengar juruhebah radio swasta bertutur di udara.

Jadi tidak hairanlah ada orang bukan Melayu memperlekeh-lekehkan bahasa Melayu.