Petang kemalrin, staf di pejabat aku berpakat untuk mengadakan majlis bacaan yasin. Majlis bermula jam 3.15 petang. Bacaan yasin diketuai oleh Tuan Haji Mohamad. Sebelum bacaan dimulakan, aku menjelaskan bahawa tujuan majlis diadakan adalah untuk merapatkan hubungan semua staf sebagai sebuah keluarga besar dalam melaksana tugas-tugas di pejabat. Aku harap tugas-tugas seharian kami diberkati dan diredhai oleh Allah SWT.
Selepas bacaan yasin, kami adakan jamuan. Jamuan ini ditaja oleh seorang staf yang tidak mahu namanya disebut. Terima kasih kepada staf berkenaan. Mungkin staf tu mendapat Anugerah Khidmat Cemerlang baru-baru ini. Selalunya staf yang mendapat Anugerah Khidmat Cemerlang akan buat kenduri di pejabat.
Menu jamuan, mi goreng ( sayang ada udang dan aku alah pada udang), kek dan dua jenis kueh. Cucur badak (yang tidak ada pun daging badak) dan apom. Minuman kopi dan teh o. Terima kasih Faizal dan Suraya kerana menyediakan minuman ini.
Setiap kali hendak diadakan jamuan, aku berpesan supaya tidak menyediakan bihun dan karipap. Ini menu rasmi majlis kerajaan. Kebiasaannya, majlis rasmi kerajaan, mesti ada bihun goreng, karipap dan teh o. Lekeh sangat.
Di pejabat aku, kalau ada jamuan, kami mesti berhati-hati agar hidangan yang dijamu mestilah makanan yang berkhasiat, tidak mengandungi banyak gula dan minyak. Yang paling dititik beratkan, makanan tidak dibungkus dengan plastik, tidak ada air mineral dalam botol plastik dan makanan tidak di dalam kotak polisterin. Ini pantang besar. Peraturan ini selaras dengan amalan lestari.
Sebenarnya, seperti yang dinyatakan oleh Tuan Haji Mohamad sebelum memulakan bacaan yasin, membaca yasin ni banyak faedahnya. Pengalaman di pejabat aku, pernah motosikal Azimah, seorang staf di pejabat ini dicuri. Kami pakat baca yasin ramai-ramai dengan harapan motosikal tersebut dijumpai. Alhamdulillah, tidak sampai tiga hari, motosikal berkenaan dijumpai di perkarangan masjid negeri.
Aku rasa, elok kita selalu baca yasin. Tak payah tunggu orang nazak. Tak ada jamuan pun tidak apa.