Khamis, Mei 07, 2009

BENGKEL "NURTURING AND LEARNING"

Hari ini, 7 Mei 2009 aku menghadiri bengkel "Nurturing and Learning" anjuran U3P. Tujuan bengkel "Nurturing and Learning" ini adalah untuk meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran agar aktiviti-aktiviti ini dapat diangkat menjadi bertaraf dunia.

Selepas meneliti kehadiran peserta-peserta bengkel, aku dapati hanya aku seorang sahaja pegawai tadbir yang dijemput ke bengkel ini. Aku juga merupakan peserta tunggal dari kalangan pegawai tadbir semasa bengkel "People Led Solution". Aku mesti pandai bawa diri supaya aku dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan rakan-rakan pensyarah. Aku tidak mahu mereka memandang lekeh kepada aku.

Pada permulaan bengkel, peserta-peserta memberi berbagai tafsiran tentang "nurturing". Ada yang menyatakan "nurturing" itu hanya patut dilaksanakan pada peringkat tadika sahaja bukan untuk dilaksanakan pada peringkat sekolah rendah mau pun peringkat sekolah menengah. Apa tah lagi untuk dilaksanakan di institusi pengajian tinggi. Tapi pandangan itu disanggah oleh seorang peserta lain yang menyatakan "nurturing" itu adalah proses sepanjang hayat.

Banyak pandangan atau pendapat yang berjaya dicambah dan dikumpul. Peserta-peserta menilai pengajaran dan pembelajaran pada masa ini. Di mana kekuatan dan kelemahannya. Di samping itu peserta juga mengaitkan faktor-faktor yang menjadi penghalang kepada pengajaran berkualiti seperti tumpuan yang terlalu kepada penyelidikan dan beban pengajaran tidak diambil kira untuk kenaikan pangkat juga dibangkitkan.

Pada akhir bengkel separuh hari ini, para peserta merumuskan bahawa institusi pengajian tinggi bukanlah kilang untuk mengeluarkan sumber manusia atau modal insan bagi menampung keperluan industri tetapi institusi pengajian tinggi adalah institusi untuk membentuk manusia yang boleh berfikir dan memimpin untuk memakmurkan dunia.

Ini secara tidak langsung nmenjawab tohmahan seorang dua pemimpin negara bahawa institusi pengajian tinggi gagal melahirkan sumber manusia untuk menampung keperluan industri negara. Ini juga sekali gus menjawab dakwaan mereka bahawa kursus-kursus yang ditawarkan oleh institusi-institusi pengajian tinggi juga tidak berkaitan dengan keperluan industri.