Khamis, Januari 07, 2010

USOP DAN SILAT SENDENG


Gambar sekadar hiasan. Mohon kebenaran pemilik.

"Zol...!"

Aku menoleh ke belakang. Tercegat seorang lelaki berbadan sasar dan cukup kacak. Aku menatap wajahnya puas-puas.

"Usop...!" Setelah puas-puas menatap wajanya, baru aku cam lelaki itu. Lelaki itu adalah Usop. Usop lenggok. Usop Mat salleh pun dia.

Ketika itu, aku sedang menikmati sarapan bersama isteriku di Medan Suri.

Usop memang segak. Hari itu dia mengenakan baju t berkolar jenama Adidas. Seluar jean Levis yang koyak di lutut. Kasut high cut. Cermin mata gelap Ray Ban melengkapkan kesegakan Usop.

Aku menjemput Usop untuk duduk bersama aku untuk menikmati sarapan. Tapi Usop menolak. Anak daranya ada bersama. Dia ingin menikmati sarapan dengan anaknya.

Usop memilih untuk duduk di meja hadapan aku. Jadi, dapatlah kami meneruskan perbualan.

Aku kenal Usop ketika aku belajar silat Sendeng. Guru silat Sendeng ialah Pak Ngah Zul. Pak Ngah Zul sudah meninggal. Usop adalah pembantu Pak Ngah Zul. Orang kanan Pak Ngah. Usop memang hebat. Pergerakan Zul cepat. Cukup cepat. Tumbukannya padat. Tendangannya kencang.

Seronok belajar silat Sendeng. Tapi terok kena belasah. Dan hari-hari pula minum dan mandi air buyong. Main silat Sendeng ini, kuda-kuda kena kuat. Pukulan sendeng adalah secara menyendeng. Menyendeng kiri atau kanan. Buah pukulan rendah. Lagi rendah lagi baik. Jadi susah ditepis musuh. Musuh nak buat pukulan pun payah. Silat Sendeng banyak buah menanti. Mungkin silat Sendeng bukan tujuan untuk menyerang.

Sebelum belajar silat Sendeng dari Pak Ngah, aku belajar silat yang aku tidak tahu namanya. Guru silatnya ialah Salim. Salim pun sudah meninggal. Apabila Salim berpindah ke Melaka, dia hantar aku menemui Pak Ngah dan meminta Pak Ngah menerima aku sebagai muridnya. Gelanggang silat pula di laman rumah Pak Ngah Zul.

Aku tidak khatam belajar silat Sendeng kerana aku berpindah ke Trolak Perak.

Kini, aku telah melupakan segalanya. Aku hanya berjalan di atas muka bumi dengan memohon perlindungan dari Allah SWT. Aku sudah tidak mampu untuk bersilat lagi.

"Usop masih mengajar silat lagi...?" Aku memecah kesunyian setelah masing-masing sepi.

"Tak mau dah". Usop menjawab ringkas.

"Awat pula".

" Tahun sudah saya ada tiga puluh orang murid. Selepas enam bulan belajar, 3 orang daripada  depa masuk pertandingan silat. Depa belasah habis peserta lain". Usop diam seketika.

"Lepas tu, apa jadi..." Aku tidak sabar menunggu Usop menyambung cerita.

"Aku kesal. Aku mengajar silat bukan untuk mencari musuh atau untuk masuk pertandingan. Tapi untuk membela diri dan keluarga". Usop terus diam.

Aku bersetuju dengan Usop.  Kini itu semua jadi kenangan. Nak buka bunga dah lupa. Langkah pun mungkin sumbang. Banyak buah silat yang dah lupa...

Al fateha untuk Pak Ngah Zul dan Salim!