Jumaat, 15 Januari 2010 jam 3.05 petang hingga 5.45 petang telah berlaku gerhana matahari separa atau dikenali sebagai "gerhana matahari anulus" berikutan "sentuhan pertama" bulan ke cakera matahari,
Tepat pukul 3 petang, aku keluar dari pejabat dan terus ke Pusat Islam. Aku bergegas keluar agar aku sempat untuk solat sunat gerhana matahari. Tak boleh terlepas peluang untuk menunaikan solat sunat ini.
Bila aku sampai di perkarangan Pusat Islam, terdapat beberapa orang di situ. Ustaz Ghaffor melambai-lambai aku. Aku menghampiri beliau. Ada dua buah teropong besar yang bernilai RM10 ribu setiap satu di situ. Teropong tersebut milik Unit Penyelidikan Ilmu Falak dan sains Atmosfera. Ustaz mempelawa aku melihat gerhana matahari melalui teropong tersebut. Memang jelas nampak bola api tersebut. Merah kekuningan.
Aku meninggalkan perkarangan masjid dan menuju ke tempat mengambil wuduk. Selesai mengambil wuduk, aku ke ruang solat. Tak ramai orang. Mungkin masing-masing sibuk.Yang buat ramai pun kanak-kanak kelas KAFA. Alhamdulillah, asuhan beginlah yang akan melahirkan mukmin yang bertaqwa ke jalan Allah.
Selepas solat sunat gerhana matahari, disampaikan khutbah khas. Aku bersyukur sangat kerana diizinkan Allah SWT untuk menunaikan solat sunat ini. Cukup istimewa kerana gerhana matahari ini berlaku pada awal Muharam dan hari Jumaat pula.