Nama penuh pak lang Hassan ialah Abu Hassan bin Akob. Pak lang Hassan ialah abang emak aku. Sejak remaja dia berkawan baik dengan bapa aku. Persahabatan mereka menjadi lebih akrab bila bapa kahwin dengan emak. Hidup pak lang Hassan, dari dia bujang, berkahwin, beranak pinak dan bercucu hanya adalah sebagai kelasi kapal. Ini bermakna sebahagian daripada hidupnya dihabiskan di atas kapal, belayar dari sebuah pelabuhan ke sebuah pelabuhan. Sepanjang hidupku ini, aku agak-agak aku berjumpa dengan Pak lang Hassan cuma beberapa kali. Boleh dikira dengan jari. Aku jarang-jarang sekali berjumpa dengan Pak lang Hassan. Mungkin seumur hidup aku ini, aku hanya jumpa pak lang Hassan tidak sampai pun 10 kali. Aku sendiri tidak tahu aku ada seorang pak lang bernama Hassan sehingga aku berjumpa dengan dia apabila kembali bercuti. Yang kerap aku berjumpa cuma mak lang Zakiah.
Pak lang Hassan berkahwin dengan Mak lang Zakiah. Mak lang zakiah adalah anak pak Leh tukang kebun. Mereka tinggal di Permatang Pauh. Kampung mak lang Zakiah. Mak lang Zakiah pernah megadu, Pak lang pernah balik bercuti dan bila sampai ke rumah dia bagai tidak percaya melihat anak-anaknya sudah besar panjang. Katanya semasa dia pergi belayar anak-anaknya masih kecil tetapi bila dia pulang, anak-anaknya sudah dewasa. Itulah pengorbanan Pak lang Hassan. Semasa Pak lang Hassan belayar, Mak lang Zakiahlah yang terpaksa mengurus anak-anak. Ini pula pengorbanan mak lang Zakiah.
Keluarga emak aku memang ahli pelayaran. Tok wan aku, Akob bin Riau atau tok Akob merupakan seorang perantau dari Indonesia. Dia keturunan Bugis. Dari Melaka, dia dan adik beradik dia pindah ke Jelutong, Pulau Pinang. Orang panggil keluarga tok wan aku, "Melaka Hanyut". Tok wan aku kahwin dengan seorang perempuan keturunan Sikh bernama Fatimah. Hebatkan! Adik beradik Tok Wan aku juga merupakan pelayar yang hebat. Antara abang dan adiknya yang aku ingat ialah tok Hamzah dan Kapten Nabun. Ramai saudara mara emak aku yang tinggal di Jelutong adalah pelaut yang hebat. Ada antara mereka yang tenggelam di laut dan mayatnya tidak dijumpai. Aku ada juga dengar tentang kehebatan tok Wan aku berkayuh perahu dari Jelutong Pulau Pinang ke Indonesia untuk ziarah saudara maranya. Malah aku sendiri pernah berjumpa dengan saudara emak aku yang berkayuh basikal dari Melaka ke Pulau Pinang sambil menjual tikar mengkuang dan tudung saji. Aku pernah menanam cita-cita untuk mejadi seorang pelaut. Tapi bapa aku tidak setuju.
Pada jam 3.00 petang, 11 Januari 2010, pak lang Hassan telah meninggal dunia di Hopital Seberang Jaya. Ketika itu aku sedang bermesyuarat dengan Cik Siti Zubaidah dan Encik Hazlan Abdul Hamid di pejabat RCMO. Emak telefon aku memaklumkan kematian pak lang Hassan. Lantas aku meninggalkan mesyuarat, bergegas menjemput isteriku dan emak untuk ziarah jenazah pak lang Hassan. Malangnya kami tidak dapat menatap wajah pak lang Hassan di tanah perkuburan. Jenazah pak lang Hassan tidak benarkan dibuka atas sebab-sebab kesihatan. Kami dimaklumkan, pak lang meninggal sebab wabak penyakit. Mungkin Denggi. Mungkin H1N1. Kami tidak dimaklumkan sebab sebenar punca kematiannya. Pak lang Hassan disemadikan pada hari yang sama sekitar jam 7.30 malam.
Al fateha untuk pak lang Hassan.