Rabu, Ogos 19, 2009

KONVOKESYEN

Konvokesyen Universiti Sains Malaysia kali ke-40 telah diadakan pada 12 Ogos hingga 16 Ogos 2009 di Dewan Tuanku Syed Putra.

Alhamdulillah, upacara konvokesyen telah berlangsung dengan jayanya. Kejayaan majlis penganugerahan ijazah-ijazah konvokesyen ini terletak kepada kerjasama dan komitmen berbagai pihak. Masing-masing telah melaksanakan tugas mereka sebaik mungkin tanpa mengira apa jawatan atau apa jabatan mereka. Bab seorang dua pegawai atau staf tidak mahu terlibat dalam tugas-tugas konvo ni, biasalah. Dah adat, dalam setandan kelapa tu, mesti ada buah mumbang .

Upacara penganugerahan ijazah-ijazah ini akan membuat aku terkenang semasa aku menerima ijazah sarjana muda aku dalam bidang sain kemasyarakatan dan sarjana pentabiran awam. Bukan mudah untuk mengikuti pengajian ketika itu. Aku terpaksa berhempas pulas antara mengikuti pengajian dan menyara keluarga aku. Aku sangat menghargai pengorbanan keluarga aku terutama isteri, anak-anak dan ibubapa aku.

Aku juga menghargai kawan-kawan di INPUT FELDA yang sering membantu dan mendorong aku untuk mengikuti pengajian aku dengan jayanya.

Namun, ada seorang dua saudara mara isteri aku tidak bersetuju aku mengikuti melanjut pengajian. Maklumlah, aku diluluskan cuti tanpa gaji oleh majikan aku. Mereka khuatir kalau aku membebankan mereka. Mereka takut kalau-kalau aku minta makan dari mereka.

Setiap kali konvo, aku juga terkenang perit getir sebilangan graduan yang hidup mengikat perut atau hidup dengan mi segera dan air sejuk semasa mengikuti pengajian mereka. Aku tahu ada yang terpaksa membahagikan masa antara mengikuti kuliah dan bekerja "part time" untuk mendapat sedikit wang bagi membiayai kehidupan di kampus. Wang PTPTN tinggal tidak seberapa setelah ditolak yuran pengajian dan yuran desasiswa. Malah ada yang terpaksa hantar wang balik ke keluarga di kampung.

Ada dua kejadian yang ingin aku kongsi semasa konvokesyen.

Seorang graduan dari PPSM yang menanggis teresak-esak selepas mengambil jubah akademik beliau kerana ibubapa beliau tidak dapat hadir pada upacara konvokesyen. Aku ni jenis Mat Kaypo. Lalu aku menghubungi ibubapa beliau yang bekerja sebagai penoreh getah. Mereka tidak mempunyai wang untuk menghadiri konvo anak mereka. Lalu aku pun berjumpa beberapa orang Profesor dan meminta sumbangan dari mereka untuk membiayai ibubapa graduan berkenaan hadir ke upacara konvo berkenaan. Kutipan itu aku hantar ke ibubapa gaduan berkenaan dengan segera dan ibubapa graduan berkenaan dapat hadir ke upacara konvo anak mereka.

Cerita kedua pula tentang graduan PPSP. Beliau kawan anak aku. Sama-sama belajar di Matrik Terengganu . Ibunya meninggal ketika beliau berada di tahun ketiga. Beliau hampir-hampir berhenti daripada mengikuti pengajian. Semasa konvo, beliau baru bekerja. Beliau tidak mempunyai pakaian yang cantik-cantik, apa lagi pakaian baru untuk dipakai semasa konvo. Lalu anak aku berikan pakaian beliau kepada graduan tersebut. Ayah beliau atau lain-lain saudara mara beliau tidak dapat hadir ke upacara konvo beliau. Memahami kedaifan keluarga beliau, tidak ambil hati. Selepas upacara konvokesyen, aku perkenalkan beliau kepada TNC (HEPP). TNC (HEPP) menjemput graduan berkenaan untuk bersama-sama beliau di bilik tetamu kenamaan sebentar. Graduan berkenaan cukup terharu kerana dilayani dengan begitu mesra oleh pegawai-pegawai utama universiti.

Akhir sekali, aku ucapkan tahniah kepada semua graduan terutama graduan yang ibubapa mereka dari kalangan " the bottom billion" seperti buruh, petani dan nelayan. Kalau anak menteri, pegawai tinggi kerajaan, tokoh politik atau tokoh korporat, aku tak hairan sangat kalau berjaya pun...