1 Mac, hari lahir aku. Semakin tua. Sejajar dengan usiaku ini, aku harap aku semakin matang dalam menjalani hidup. Walau apapun, aku sentiasa ingat bahawa saat kematian aku semakin hampir. Dan aku sedar bila aku mati nanti, aku tidak layak untuk menjadi penghuni syurga, namun aku juga tidak mampu dan takut untuk menjadi penghuni neraka. Lantaran itu, aku sentiasa memohon agar hidupku setiap saat ini diberkati dan diredhai Allah SWT. Semoga Allah SWT sentiasa memberi petunjuk dan hidayah kepada aku.
Pagi-pagi lagi, pada pukul 1.00 pagi, aku menerima SMS mengucapkan selamat hari lahir dan doa agar hidupku bertambah bahagia. SMS itu dari Fazilah, isteriku. Terima kasih atas ingatan dan SMS ucap selamat.
Sekitar pukul 8.50 pagi, aku terima SMS dari Wan Zalina pula. Wan mengucapkan selamat hari lahir kepada aku. Mungkin Wan seorang saja rakan sekerja yang ingat tarikh lahir aku. Terima kasih Wan!
Kemudian Zulfadli menghantar SMS kepada aku mengucapkan selamat hari lahir. Mesej ucapan itu katanya dari dia dan kakaknya, Zuyanti. Kedekut betul mereka ni. Kongsi SMS untuk ucapkan selamat hari lahir kepada aku. SMS itu aku terima jam 11.30 pagi.
Selepas pulang dari kerja, aku baring sambil menonton tv. Tonton cerita kartun Jepun. Walau pun kartun tapi ceritanya menyentuh perasaan. Hebat mesej yang disampaikan. Cerita seorang anak kecil yang kematian ibunya dan anak kecil tersebut masih tidak dapat menerima kematian ibunya walau dua tahun telah berlalu. Bukan sekadar hiburan.
Selepas menonton cerita kartun, anak-anak aku mengajak aku makan nasi dengan lauk yang dibeli dari gerai Shariff Nasi Kandar. Sebenarnya aku tidak ada selera nak makan. Mungkin cuaca yang panas sedikit sebanyak menjejas selera besar dan selera gelojoh aku untuk menjamah nasi.
Selepas habis makan nasi, anak-anak aku membawa keluar kek hari jadi. Kek coklat. Ada hiasan pula atas permukaan kek. Nampak lazat dan berselera. Tapi, aku kekenyangan makan nasi. Aku ambil sepotong kek coklat itu dan makan sambil menghirup kopi O. Lepas itu, aku duduk tersandar menonton Buletin Utama TV3.
Kemudian, pada 9.48 malam, Zulkarnain pula menghantar SMS mengucap selamat hari jadi pada aku. "Happy Birthday To You...!" Zulkarnain juga mendoakan semoga cita-citaku akan tercapai. Cita-citaku ialah agar anak-anak lelaki aku terbuka hati mereka untuk melanjutkan pengajian mereka ke peringkat ijazah sarjana muda pula.