Ya Allah, tuhan semesta alam, yang menjadikan langit dan yang menjadikan bumi... kenapa pada waktu begini aku jadi angau dan sasau...?
Kali pertama dia melangkah dalam hidupku ialah ketika dia melapor diri untuk bertugas di pejabatku. Memang dia cantik. Aku selalu katakan dia memang cantik. Aku selalu katakan dia memang cantik seperti Norish Karman. Matanya, mulutnya, hidungnya...memang cantik. Kata-kata tentang kecantikan dia terhenti apabila dia berkahwin. Dia bahagia dengan suaminya. Dia bahagia bersama suami dan anak-anak dia. Aku terlupa tentang diri dia yang cantik. Malah aku terlupa dia pernah wujud.
Selang beberapa lama, aku terima perkhabaran yang dia telah bercerai dengan suami dia. Aku bagai tidak percaya. Masakan suami dia sanggup melepaskan dia pergi. Masakan suami dia sanggup berpisah dengan seorang perempuan yang cantik begitu. Dia begitu manja dan memiliki kesempurnaan seorang wanita. Di mana silapnya. Hai sang suami, mengapa kau tinggal pergi wanita yang cantik ini...?
Entah bagaimana, aku berkesempatan berjumpa dengan dia. Kami duduk dan berbual. Akhirnya tanpa rasa malu dan dengan rasa terpanggil untuk menjaga tepi kain orang, aku bertanya apakah benar dia telah bercerai. Airmatanya yang mengalir membasahi pipi adalah jawapan kepada pertanyaanku. Matanya menjadi merah dan airmata bertasik di kelopak matanya yang cantik. Hidungnya menjadi merah dan menambah kecantikannya. Aku tunduk bersalah kerana menguris perasaannya. Aku tunduk rasa simpati istana bahagia yang dibina atas ikatan janji hidup semati roboh berderai menyembah bumi. Rapuh benar cinta mereka, bisik hatiku. Maafkan aku kerana membuat kau pedih mengenang kegagalan cintamu.
Tanpa aku sedari, saban hari aku merinduinya. Aku terasa sunyi dan sepi jika aku tidak melihatnya . Aku menjadi tidak keruan jika tidak mendengar suaranya. Aduh, celaka apakah yang menimpa aku. Apakah malang diri ini kerana tiba-tiba aku memendam rasa kepadanya. Sialnya diri ini. Sudah beberapa kali aku bisik dan sergah hati ini, bahawa dia bukanlah untuk aku. Kau bukanlah milik aku. Namun, aku tidak berdaya untuk melupakan dirinya. Lantas, aku sedar, aku sudah menjadi sasau kerana angau kepadanya...! Saban hari aku akan mengingati dirinya...
Aku pernah menyuarakan rasa hati ini kepadanya tetapi dengan sopan dia berkata bahawa tanah hatinya telah kering kontang dan tidak mungkin boleh disemai benih cinta walau pun disirami dengan kata mesra dan ungkapan cinta setiap masa. Malah rasa cinta telah terhakis dari tebing hidupnya dan dia lebih bahagia melayari hidup seorang diri.
Entahlah...
apalah diharap di pulau seberang,
entah subur entah gersang
apa diharap cinta seseorang,
entah jujur entah curang...
daun berduri bunga semalu
dibawa orang pergi berjamu
biar seribu tahun datang berlalu
aku setia menanti cinta kamu
daun berduri bunga semalu
dibawa orang pergi berjamu
biar seribu tahun datang berlalu
aku setia menanti cinta kamu