Isnin, November 30, 2009

ORANG ASLI PUAK SEMAI SUNGAI JENTONG

Pada April hingga Jun 1993, aku menerima tugasan yang memerlukan aku tinggal bersama orang asli puak Semai di Sungai Jentong. Tanpa banya karenah dan soalan, aku pun pergilah ke Sungai Jentong. 

Aku terus berjumpa dengan tok batin atau penghulu sebaik sampai di kampong itu. Walau pun umurnya sudah lanjut tetapi badannya masih tegap dan bijak berbicara. Penghulu ini pernah mengikuti rombongan ke England untuk selama enam bulan. Selepas memperkenalkan diri dan menyatakan tujuan aku,  penghulu memberi tiga syarat kepada aku sebelum membenarkan aku tinggal dengan mereka.

Pertama, penghulu tidak mahu aku berdakwah dengan mereka. Biarlah mereka dengan cara hidup mereka. Penghulu tidak mahu penduduk di situ berpecah belah kerana kepercayaan agama yang berbeza.

Kedua, penghulu tidak mahu aku mengadakan apa-apa projek yang melibatkan kewangan. Katanya duit orang asli, duit halal. Orang asli terpaksa bekerja keras membanting tulang empat kerat untuk mendapat sesuap nasi. Kalau kerja baru dapat duit. Kalau cuti atau sakit tidak dapat duit. Jadi duit yang dapat itu, duit yang betul-betul halal. Orang kerajaan lain, kerja dapat duit. Cuti pun dapat duit. Sakit pun dapat duit. Jadi duit orang kerajaan, duit dunia.

Ketiga, penghulu benarkan aku mengambil dan memakan apa saja buah-buahan, sayuran dan binatang ternakan yang ada di kampong berkenaan. Kalau aku hendak "makan" anak-anak mereka, beliau mahu aku minta baik-baik dari beliau. Jangan curi "makan" anak-anak mereka. Penghulu marah sebab orang luar kerap "makan" anak mereka secara sembunyi-sembunyi.

Pada mulanya, penghulu pelawa aku tinggal di rumah adik penghulu. Adik pengulu meninggal dunia kerana dibaham harimau. Rumah adik beliau dibiarkan kosong. Malam pertama, aku tidur di ruang depan rumah. Sambil baring, aku peluk parang menanti sebarang kemungkinan. Terfikir juga, kalau boleh bawa M16, lagi baik. Lebih konfiden. Memadai kalau boleh bawa M16. Tak kan nak bawa LMG atau GPMG pula. Mungkin kerana penat, aku terus tertidor.

Malam kedua, aku baring atas camp bed. Parang diletak di bawah camp bed. Mata pula tak mengantuk. Payah pula nak tidor. Di luar rumah, walau baru pukul lapan malam, tetapi sudah gelap pekat. Puas aku cuba pejam mata untuk tidor tetapi tidak berjaya. Aku jadi gelabah. Entah kenapa. Aku jadi takut. Entap apa sebabnya.Untuk menhilang rasa tidak menentu, aku mula zikir ayatul kursi hinggalah aku terlelap.

Malam ketiga, aku tidor atas camp bed juga dan parang masih di bawah camp bed. Parang tu buat kuat semangat sahaja. Malam tu, kaki aku mengeletar. Nak kata takut, aku nak takut apa...? Tapi hati aku jadi berdebar-debar, takut. Kaki aku mengeletar.  Di luar bunyi anjing menyalak panjang-panjang. Kata orang, hantu lalu. Aku terus zikir hinggalah aku tertidor.

Malam keempat, aku benar-benar menyesal menerima tugas yang memerlukan aku tinggal di kampong berkenaan. Aku seperti mahu lari dari rumah adik penghulu dan tumpang dengan mana-mana keluarga orang asli. Biar ada teman. Malam itu, aku tidak boleh tidor. Benar-benar seram.Benar-benar takut. Kadang-kadang rasa seperti ada orang di luar rumah mengintai aku. Terasa seperti ada orang baling pasir ke atas bumbong rumah. Salakan anjing sesekali sahut-bersahutan. Tetapi kerana rasa malu, aku sekadar duduk diam dan memeluk erat parang sambil berzikir ayatul kursi. Keseokan hari, aku berpindah ke rumah lain.

Selepas sebulan, aku bawa keluarga untuk menemani aku tinggal dengan orang asli puak Semai di Sungai Jentong. Dari stesen keretapi Trolak aku bawa keluarga aku ke Sungai Jentong berjalan meredah hutan sawit dan getah. Dalam perjalanan, aku berpesan kepada isteriku, kalau kami diserang binatang buas, mereka hendaklah lari menuruni kiri lereng bukit dan aku akan melawan binatang berkenaan.

Selepas 15 tahun, pada 28 November 2009, aku kembali menziarahi Sungai Jentong. Aduh...! Sungai Jentong sudah jauh berbeza. Penduduk orang asli sudah ramai. EC sudah menjadi penghulu menganti ayahnya yang meninggal pada tahun 2004. Namun, usaha aku untuk berjumpa dengan Atot seorang kawan perempuan yang rapat dengan aku semasa aku tinggal di situ tidak bersampaian. Dua kali aku pergi mencari Atot tetapi Atot berada di Hulu Slim. Aku akan ke Sungai Jentong lagi. Dan aku akan mencari Atot. Atot yang beritahu  aku yang rumah aku tinggal selama empat malam itu adalah rumah mayat puak Semai. Mayat penduduk kampong akan ditempatkan di rumah adik penghulu sebelum dikebumikan. Atot memuji aku. Katanya aku berani tinggal di rumah itu. Menurut Atot lagi, ada orang, pada malam pertama sudah cabut dari menginap di rumah itu.


16  tahun lalu, aku tinggal di kampong ini selama dua bulan...

anak-anak aku pun pernah tinggal di sini

aku tinggal di rumah ini

EC, Tok Batin puak Semai Sungai Jentong sekarang

Mereka pernah menjadi jiran aku

bersantai selepas seharian bekerja

cucu lelaki Atot

Orang Asli yang masih ingat pada aku

Balik dari sungai...

anak-anak menunggu ibu bapa mereka

sukan kegemaran remaja orang asli...