Isnin, November 30, 2009

ANGAU DAN SASAU



Ya Allah, tuhan semesta alam, yang menjadikan langit dan yang menjadikan bumi... kenapa pada waktu begini aku jadi angau dan sasau...?

Kali pertama dia melangkah dalam hidupku ialah ketika dia melapor diri untuk bertugas di pejabatku. Memang dia cantik. Aku selalu katakan dia memang cantik. Aku selalu katakan dia memang cantik seperti Norish Karman. Matanya, mulutnya, hidungnya...memang cantik.  Kata-kata tentang kecantikan dia terhenti apabila dia berkahwin. Dia bahagia dengan suaminya. Dia bahagia bersama suami dan anak-anak dia. Aku terlupa tentang diri dia yang cantik. Malah aku terlupa dia pernah wujud.

Selang beberapa lama, aku terima perkhabaran yang dia telah bercerai dengan suami dia. Aku bagai tidak percaya. Masakan suami dia sanggup melepaskan dia pergi. Masakan suami dia sanggup berpisah dengan seorang perempuan yang cantik begitu. Dia begitu manja dan memiliki kesempurnaan seorang wanita. Di mana silapnya. Hai sang suami, mengapa kau tinggal pergi wanita yang cantik ini...?

Entah bagaimana, aku berkesempatan berjumpa dengan dia. Kami duduk dan berbual. Akhirnya tanpa rasa malu dan dengan rasa terpanggil untuk menjaga tepi kain orang, aku bertanya apakah benar dia telah bercerai. Airmatanya yang mengalir membasahi pipi adalah jawapan kepada pertanyaanku. Matanya menjadi merah dan airmata bertasik di kelopak matanya yang cantik. Hidungnya menjadi merah dan menambah kecantikannya. Aku tunduk bersalah kerana menguris perasaannya. Aku tunduk rasa simpati istana bahagia yang dibina atas ikatan janji hidup semati roboh berderai menyembah bumi. Rapuh benar cinta mereka, bisik hatiku. Maafkan aku kerana membuat kau pedih mengenang kegagalan cintamu.

Tanpa aku sedari, saban hari aku merinduinya. Aku terasa sunyi dan sepi jika aku tidak melihatnya . Aku menjadi tidak keruan jika tidak mendengar suaranya. Aduh, celaka apakah yang menimpa aku. Apakah malang diri ini kerana tiba-tiba aku memendam rasa kepadanya. Sialnya diri ini. Sudah beberapa kali aku bisik dan sergah hati ini, bahawa dia bukanlah untuk aku. Kau bukanlah milik aku. Namun, aku tidak berdaya untuk melupakan dirinya. Lantas, aku sedar, aku sudah menjadi sasau kerana angau kepadanya...! Saban hari aku akan mengingati dirinya...

Aku pernah menyuarakan rasa hati ini kepadanya tetapi dengan sopan dia berkata bahawa tanah hatinya telah kering kontang dan tidak mungkin boleh disemai benih cinta walau pun disirami dengan kata mesra dan ungkapan cinta setiap masa. Malah rasa cinta telah terhakis dari tebing hidupnya dan dia lebih bahagia melayari hidup seorang diri.

Entahlah...

apalah diharap di pulau seberang,
entah subur entah gersang
apa diharap cinta seseorang,
entah jujur entah curang...

daun berduri bunga semalu 
dibawa orang pergi berjamu
biar seribu tahun datang berlalu
aku setia menanti cinta kamu

ORANG ASLI PUAK SEMAI SUNGAI JENTONG

Pada April hingga Jun 1993, aku menerima tugasan yang memerlukan aku tinggal bersama orang asli puak Semai di Sungai Jentong. Tanpa banya karenah dan soalan, aku pun pergilah ke Sungai Jentong. 

Aku terus berjumpa dengan tok batin atau penghulu sebaik sampai di kampong itu. Walau pun umurnya sudah lanjut tetapi badannya masih tegap dan bijak berbicara. Penghulu ini pernah mengikuti rombongan ke England untuk selama enam bulan. Selepas memperkenalkan diri dan menyatakan tujuan aku,  penghulu memberi tiga syarat kepada aku sebelum membenarkan aku tinggal dengan mereka.

Pertama, penghulu tidak mahu aku berdakwah dengan mereka. Biarlah mereka dengan cara hidup mereka. Penghulu tidak mahu penduduk di situ berpecah belah kerana kepercayaan agama yang berbeza.

Kedua, penghulu tidak mahu aku mengadakan apa-apa projek yang melibatkan kewangan. Katanya duit orang asli, duit halal. Orang asli terpaksa bekerja keras membanting tulang empat kerat untuk mendapat sesuap nasi. Kalau kerja baru dapat duit. Kalau cuti atau sakit tidak dapat duit. Jadi duit yang dapat itu, duit yang betul-betul halal. Orang kerajaan lain, kerja dapat duit. Cuti pun dapat duit. Sakit pun dapat duit. Jadi duit orang kerajaan, duit dunia.

Ketiga, penghulu benarkan aku mengambil dan memakan apa saja buah-buahan, sayuran dan binatang ternakan yang ada di kampong berkenaan. Kalau aku hendak "makan" anak-anak mereka, beliau mahu aku minta baik-baik dari beliau. Jangan curi "makan" anak-anak mereka. Penghulu marah sebab orang luar kerap "makan" anak mereka secara sembunyi-sembunyi.

Pada mulanya, penghulu pelawa aku tinggal di rumah adik penghulu. Adik pengulu meninggal dunia kerana dibaham harimau. Rumah adik beliau dibiarkan kosong. Malam pertama, aku tidur di ruang depan rumah. Sambil baring, aku peluk parang menanti sebarang kemungkinan. Terfikir juga, kalau boleh bawa M16, lagi baik. Lebih konfiden. Memadai kalau boleh bawa M16. Tak kan nak bawa LMG atau GPMG pula. Mungkin kerana penat, aku terus tertidor.

Malam kedua, aku baring atas camp bed. Parang diletak di bawah camp bed. Mata pula tak mengantuk. Payah pula nak tidor. Di luar rumah, walau baru pukul lapan malam, tetapi sudah gelap pekat. Puas aku cuba pejam mata untuk tidor tetapi tidak berjaya. Aku jadi gelabah. Entah kenapa. Aku jadi takut. Entap apa sebabnya.Untuk menhilang rasa tidak menentu, aku mula zikir ayatul kursi hinggalah aku terlelap.

Malam ketiga, aku tidor atas camp bed juga dan parang masih di bawah camp bed. Parang tu buat kuat semangat sahaja. Malam tu, kaki aku mengeletar. Nak kata takut, aku nak takut apa...? Tapi hati aku jadi berdebar-debar, takut. Kaki aku mengeletar.  Di luar bunyi anjing menyalak panjang-panjang. Kata orang, hantu lalu. Aku terus zikir hinggalah aku tertidor.

Malam keempat, aku benar-benar menyesal menerima tugas yang memerlukan aku tinggal di kampong berkenaan. Aku seperti mahu lari dari rumah adik penghulu dan tumpang dengan mana-mana keluarga orang asli. Biar ada teman. Malam itu, aku tidak boleh tidor. Benar-benar seram.Benar-benar takut. Kadang-kadang rasa seperti ada orang di luar rumah mengintai aku. Terasa seperti ada orang baling pasir ke atas bumbong rumah. Salakan anjing sesekali sahut-bersahutan. Tetapi kerana rasa malu, aku sekadar duduk diam dan memeluk erat parang sambil berzikir ayatul kursi. Keseokan hari, aku berpindah ke rumah lain.

Selepas sebulan, aku bawa keluarga untuk menemani aku tinggal dengan orang asli puak Semai di Sungai Jentong. Dari stesen keretapi Trolak aku bawa keluarga aku ke Sungai Jentong berjalan meredah hutan sawit dan getah. Dalam perjalanan, aku berpesan kepada isteriku, kalau kami diserang binatang buas, mereka hendaklah lari menuruni kiri lereng bukit dan aku akan melawan binatang berkenaan.

Selepas 15 tahun, pada 28 November 2009, aku kembali menziarahi Sungai Jentong. Aduh...! Sungai Jentong sudah jauh berbeza. Penduduk orang asli sudah ramai. EC sudah menjadi penghulu menganti ayahnya yang meninggal pada tahun 2004. Namun, usaha aku untuk berjumpa dengan Atot seorang kawan perempuan yang rapat dengan aku semasa aku tinggal di situ tidak bersampaian. Dua kali aku pergi mencari Atot tetapi Atot berada di Hulu Slim. Aku akan ke Sungai Jentong lagi. Dan aku akan mencari Atot. Atot yang beritahu  aku yang rumah aku tinggal selama empat malam itu adalah rumah mayat puak Semai. Mayat penduduk kampong akan ditempatkan di rumah adik penghulu sebelum dikebumikan. Atot memuji aku. Katanya aku berani tinggal di rumah itu. Menurut Atot lagi, ada orang, pada malam pertama sudah cabut dari menginap di rumah itu.


16  tahun lalu, aku tinggal di kampong ini selama dua bulan...

anak-anak aku pun pernah tinggal di sini

aku tinggal di rumah ini

EC, Tok Batin puak Semai Sungai Jentong sekarang

Mereka pernah menjadi jiran aku

bersantai selepas seharian bekerja

cucu lelaki Atot

Orang Asli yang masih ingat pada aku

Balik dari sungai...

anak-anak menunggu ibu bapa mereka

sukan kegemaran remaja orang asli...
















Khamis, November 19, 2009

JAMUAN BPLK

Jawatankuasa Kebajikan Bahagian Pembangunan Lestari dan Korporat  telah mengadakan jamuan untuk menyambut Aidil Fitri, sambutan hari lahir staf dan menyambut staf baru pada 14 Oktober 2009 . Jamuan kali ini dibuat secara sederhana tetapi meriah. (Dialog biasa yang sering diucapkan). 

Sekalung penghargaan dihulurkan kepada staf yang bertungkus lumus menganjurkan majlis ini terutama kepada Puan Rozy Manan.


PUTUS CINTA




Hari ini, aku terbaca blog seorang kawan aku. Maksud aku, aku tidak berniat membaca blog beliau tetapi entah bagaimana tengah aku buat search tentang sesuatu tajuk tiba-tiba terpapar blog beliau. Lastest entry, beliau mendayu-dayu menceritakan kegagalan cinta beliau. Beliau menanggis dan menanggis. Phew... sebiji macam cerita drama swasta! Atau lebih tepat kalau aku kata macam cerita cinta Hindustan...Aku sangat tertarik dengan ungkapan perpisahan beliau " Biarlah aku pergi sebelum kau meninggalkan aku pergi...".



Seorang kawan aku pernah gagal memiliki seorang yang beliau kira cukup istimewa kepadanya. Dia kira perempuan itu cukup padan dengan dia. Pada matanya, perempuan  itu sangat cantik. Potongan badan yang menarik. Kulit putih gebu. Tapi perempuan itu melafazkan kata cintanya pada dia setelah dia bertunang.  Hidupnya  ketika itu menjadi kacau. Pertimbangan antara tunang yang dia cintai dan seorang kekasih yang baru dia kenali.  Dia jadi sasau. Dia jadi bingung. Dia jadi tidak keruan. Dia  rasa sudah sampai ke penghujung hidup ini.  Dia rasa tidak ada penghujung kepada masalah beliau.


Jadi aku menasihatinya untuk mengadap Allah. Aku suroh dia mohon petunjuk dari Allah. Aku suroh dia bangun tengah malam ( bukan malam tapi 3.00 pagi dan tunaikan solat istikharah.) Allah memberi petunjuk bahawa bakal isterinya (tunang dia) adalah orang paling sesuai untuk dirinya.  Isteri yang akan hidup susah senang bersama dia.



Dia pun melangkah pergi meninggalkan perempuan itu. Doa dia semoga prempuan itu akan berbahagia. Selang setahun selepas dia berkahwin, dia terima kad undangan perkahwinan perempuan itu dengan seorang pegawai tentera. Dan dia, dia kini cukup bahagia dengan isterinya dan anak-anak beliau. Dia berharap perempuan itu pun berbahagia dengan keluarganya.  Lupakan peristiwa lalu walau pun sukar untuk berbuat demikian.



Percayalah... apa yang berlaku ada hikmahnya. Di sebalik kepahitan hidup yang kita telan, pasti menjadi penawar kemudian hari. Hidup bukan untuk derita dan derita bukan untuk selamanya.



Pada kawan aku ini, sebenarnya dia ni seorang steno di sebuah pusat pengajian di tempat aku bekerja. Umurnya pun masih setahun jagung. Setahun jagung? Ini sekadar perumpamaan untuk mengambar bahawa dia masih muda dan masih ada banyak masa untuk mencari penganti. Kalau orang dah tidak mau pada kita, nak buat macam mana. Hari ini hari dia untuk memutuskan ikatan cinta...Mungkin besok pasangan barunya pula akan meninggalkan dia pergi.



Engkau adalah engkau
Aku adalah aku
Jika ditakdirkan
pasti kita akan bertemu...