Ahad, Julai 11, 2010

KHIDMAT MASYARAKAT DI KEMBOJA

12 Mei 2010
Setelah berhempas pulas merancang dan mencari penajaan, program khidmat masyarakat di Kampong Chom Long, Kemboja menjadi kenyataan.  Program ini diadakan bermula 12 Mei hingga 18 Mei 2010.
Seramai 29 orang terdiri daripada pegawai-pegawai, jurulatih dan anggota Kor SUKSIS Universiti Sains Malaysia telah menyertai program khidmat masyarakat ini. Kami bertolak dari markas Kor SUKSIS Universiti Sains Malaysia pada 0600 hrs menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dengan sebuah bas dan trak PDRM. 
Alhamdulillah, selepas sejam lebih penerbangan, aku sampai ke Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penm.
Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penm ini tidak sesibuk Lapangan Terbang Antarabangsa. 
Setelah berada di Phnom Penm, baru aku sedar, tempat duduk pemandu kereta di Kemboja ialah di sebelah kiri. Ini bermakna di Kemboja, kereta, lori dan lain-lain kenderaan dipandu di sebelah kanan jalan.Celaru!. 
Ketibaan kami di Kampong Chom Long disambut mesra oleh penduduk kampong. Penyerahan anak-anak angkat dilakukan selepas itu. Terdapat beberapa penduduk di situ yang fasih berbahasa Melayu.
Aku tidak melepas peluang merakam gambar anak-anak kecil di situ. Mungkin mereka gembira dengan kehadiran kami. Setidak-tidaknya, aku berharap kehadiran kami tidak membebankan mereka. 
Aku tumpang di rumah adik Imam Kampong Chom Long ini. Rumahnya di tepi sungai. Bilik aku pula mengadap sungai. Pemandangan yang cukup menarik. Tapi sayang, tebing sungai tersebut dipenuhi sampah. Walau pun sungai ini pernah menjadi kubur ribuan penduduk  Kemboja dan tebingnya penuh sampah sarap, sungai ini menjadi tempat penduduk kampong ini mandi manda, membasuh pakaian, pinggan mangkok dan airnya diangkut ke masjid untuk dijadi air untuk mengambil wuduk.
Malam itu, tuan rumah aku mengadakan sedikit kenduri. Hidangan cukup sederhana. Keropok dan air meneral.

13 Mei 2010
Aku mengelilingi Kampong Chom Long untuk melihat kehidupan seharian penduduk dan persekitaran di sini.
Selepas ke hulu ke hilir sekitar kampong, aku mencari kedai untuk sarapan. Jumpa sebuah kedai orang Islam. Tuan punyai kedai hanya dapat menyediakan roti dan gulai ayam. Aku pesan roti dan cicah gulai ayam yang rasanya sunggoh berbeza dengan tempat aku. Dek kerana lapar, aku makan saja tanpa banyak soal. Aku balun tiga gelas kopi O.
Aku kira orang Kemboja cukup kreatif. Aku jarang jumpa bas atau teksi di kawasan ini. Jadi mereka mereka cipta kenderaan khas sebagai pengangkutan awam.
Selepas menikmati sarapan pagi, aku ke Phnom Penm. Aku pergi menijau pasar di Phnom Penm. Sebenarnya kawasan yang aku pergi bukanlah pasar dalam erti sebenar tetapi tempat orang berjual beli keperluan harian di tepi jalan.
Orang ramai di sekitar pasar ini bertanya tentang kehadiran kami. Kami menerangkan kami adalah warga Malaysia. Di Kemboja, warga Malaysia dikenali sebagai "Malay".
Pada malam itu, aku ke Phnom Penm untuk makan malam. Kami makan malam di restoran Malaysia. Nama restoran itu, restoran Malaysia.
14 Mei 2010
Hari ketiga di Kemboja. Pagi-pagi lagi, Supt. Ishak Ramli mengajak aku sarapan pagi. Sebelum itu, beliau membeli keperluan harian dan diserahkan kepada isteri tuan rumah kami menginap.
Kami bersarapan di sebuah kampong. Aku tak ingat nama kampong itu. Tapi Sarjan Ismail beritahu, kampong itu ada masjid macam masjid Shah Alam. Jadi kami panggil kampong itu Kampong Masjid Shah alam. 
Gerai tempat kami mengambil sarapan itu dikendalikan oleh keluarga Islam, keluarga Haji Salleh. Sewa gerai di situ menjadi sumber pendapatan Kampong Masjid Shah Alam.
Kopi O ialah   minuman kegemaran aku. Aku tidak gemar minuman lain. Aku telah minum kopi O di merata tempat tetapi kopi O yang paling sedap aku minum ialah di gerai ini. Memang terangkat kopi di gerai ini. Terasa manis, masin dan masamnya.
Malangnya, pada pagi itu, makanan yang dijual telah habis. Tinggal hanya roti bakar dan telur goreng.
Selepas menimati sarapan, kami ke Phnom Penm. Kali ini, kami ke bazar Phnom Penm. Di sini terdapat kedai-kedai yang menjual pakaian, pinggan mangkok, cincin permata, permainan dan entah apa-apa lagi..
Aku kasihan melihat seorang perempuan tua yang berjualan di sini. Seharian dia menanti, tetapi tidak ada sesiapa pun yang membeli jualannya.
Di bazar ini terdapat banyak kedai yang menjual batu permata. Ada seorang jurujual perempuan yang muda dan cantik di bazar ini yang puas memujuk rayu aku untuk membeli batu permata dari dia. Namun, aku tidak apa-apa pun darinya.
Di sini, terdapat beberapa orang veteran perang yang cacat anggota menjual bhuku-buku tentang peperangan Kemboja dan kekejaman Pol Pot. Menurut mereka, mereka tidak mengemis tetapi menjual buku-buku tersebut untuk menyara keluarga mereka.
Kami pergi menunaikan solat Jumaat di masjid Phnom Penm. Masjid tersebut sedang dibaiki semula dengan dibiayai oleh kerajaan Arab Saudi. 
Di Phnom Penm ini seperti lain-lain bandar di negara-negara membangun, terdapat kawasan setinggan yang menjadi kawasan tempat tinggal mereka yang tidak berkemampuan.
Di Phnom Penm terdapat banyak restoran yang menjual makanan Islam di Phnom Penm. Antaranya Restoran Puncak. Masakannya memang sedap. Tapi, lama juga menunggu makanan yang dipesan.
Pada sebelah petang pula, diadakan sukaneka untuk penduduk Kampong Chom Long. Macam pesta pula. Ramai penduduk kampong keluar untuk sama-sama terlibat dalam sukaneka ini.  Sunggoh meriah ... 
Ketika itulah, aku berkesempatan melihat perempuan-perempuan Kemboja yang cantik-cantik...
Sesuatu yang perlu aku catatkan ialah perempuan Kemboja suka memakai baju tidor tidak kira bila pun.
Petang itu, aku berkesempatan berjumpa dengan imam Kampong Chom Long. Kami berbual panjang. Dia menahan sebak apabila menceritakan bagaimana abang dan kakak beliau sekeluarga dibunuh oleh tentera Pol Pot. Dia kehilangan 8 orang abang dan kakak termasuklah anak-anak mereka. Mayat mereka dibuang ke dalam sungai. Dia dan ahli keluarga yang lain sempat melarikan diri.
Kami juga berbincang soal-soal agama. Dia pernah belajar pondok di Kelantan. Sebab itulah dia fasih berbahasa Melayu. Aku agak terkejut bila dimaklumkan bahawa Kampong Chom Long itu dibuka oleh tiga orang pendakwah dari Malaysia. Tuan Haji Ahmad Daud dari Pulau Pinang, Tuan Haji Husin dari Kedah dan Tuan Haji sulong dari Terengganu.
15 Mei 2010
Kopral Nor telah bermurah hati untuk aqiqah seekor lembu semasa kami berada di Kampong Chom Long. Kami bergotong royong dengan penduduk Kampong Chom Long menyembelih lembu serta memasak berapa juadah untuk dihidangkan kepada penduduk kampong.

\